Sukan Tai Chi wajar diperluaskan keahliannya kepada Bumiputera: Hasbi

0

TERJALIN HUBUNGAN: Leong (lima kiri) menyerahkan cenderamata kepada Hasbi (empat kanan) sambil disaksikan yang lain.

LIMBANG: Sukan tai chi yang sinonim dengan kaum Cina wajar diperluaskan keahliannya kepada Bumiputera sejajar dengan peranan sukan sebagai wadah perpaduan dan keharmonian di negara ini.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata tai chi adalah simbol perpaduan yang perlu dilebarkan sayapnya kepada kaum Bumiputera.

Jelasnya tai chi merupakan salah satu cara masyarakat menjaga kesihatan dan awet muda, selain memupuk semangat kerjasama di kalangan ahlinya yang terdiri pelbagai kaum dan berlainan agama.

“Persatuan tai chi harus memperkembangkan dan memperluaskan keahlian sukan tai chi bukan saja kepada kaum Cina tetapi Bumiputera.

“Dengan adanya sukan tai chi ini, perpaduan akan dapat diwujudkan melalui aktiviti sukan,” katanya pada Ulang Tahun Ke-28 Persatuan Tai Chi (PTC) Limbang pada malam Sabtu lalu.

Turut hadir ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Sosial Stephen Kalong Nanggang dan

Pengerusi PTC Limbang Penghulu Leong Boong Ming

Hasbi menjelaskan lagi generasi muda perlu disedarkan bahawa dalam usaha meneruskan kemajuan negara, mereka perlu bersatu tanpa mengira kaum melalui aktiviti sukan khususnya tai chi.

“Sekiranya nilai positif ini dapat ditanam di dalam diri generasi sekarang serta dapat mengekalkan semangat perpaduan, Malaysia akan diwarisi oleh pemimpin yang baik untuk terus maju pada masa akan datang,’’ katanya.

Beliau memberitahu, kejayaan yang dicapai oleh negara merupakan hasil perancangan rapi dan pelaksanaan dasar serta program yang pragmatik dan berdaya maju hasil kemakmuran dan perpaduan sedia ada.

Tambahnya, Malaysia bertuah kerana mempunyai pemimpin yang bukan saja berpandangan jauh dan pragmatik tetapi juga kemakmuran, kepandaian dan kekayaan yang dimiliki negara.

“Dengan adanya keharmonian ini, kita boleh menarik ramai pelabur asing untuk melabur di sini dan impak positifnya adalah rakyat sendiri.

“Inilah yang perlu dikekalkan oleh masyarakat yang berbilang kaum. Segala perbezaan perlu diketepikan dalam memacu lebih banyak kemajuan dan pembangunan,” katanya.

Hasbi berkata banyak usaha dijalankan kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat di negara ini termasuk memperkenalkan gagasan 1Malaysia.

Katanya sukan adalah platform terbaik untuk mencapai hasrat kerajaan dalam mengukuhkan lagi keamanan dan kemakmuran serta perpaduan.

Terdahulu Leong dalam ucapan aluanya menjelaskan PTC Limbang sudah wujud sejak 28 tahun di daerah ini dan mempunyai seramai lebih 100 ahli berdaftar terdiri daripada penjawat kerajaan, swasta, NGO dan masyarakat setempat.

Beliau komited untuk memperluaskan keahlian kepada kaum Bumiputera yang berminat untuk menyertai PTC Limbang.

Kebanyakan latihan ujarnya dijalankan untuk mencapai kesegaran rohani dan jasmani selain menghilangkan tekanan dan menenangkan fikiran dengan pergerakan perlahan anggota tubuh dalam sukan tersebut.

PTC Limbang menjalankan latihan setiap hari bermula 7 hingga 8.30 malam, Isnin dan Khamis.

Pada majlis sama Hasbi turut menyerahkan geran kerajaan RM5,000 kepada PTC Limbang manakala Dr Rahman dan Paulus masing-masing menyerahkan RM3,000.