MARA Uptown lubuk rezeki usahawan Bumiputera

0

DAPAT SAMBUTAN: Usahawan Bumiputera tidak menang tangan melayan pembeli pada kemeriahan program MARA Uptown yang berakhir kelmarin.

Pendapatan dan ekonomi peserta melonjak dengan ketara biarpun diadakan hanya sebulan sekali

LIMBANG: Penganjuran MARA Uptown di daerah ini disifatkan sebagai lubuk rezeki kepada usahawan Bumiputera apabila mampu memperolehi pendapatan mencecah RM10,000 sepanjang lima hari program itu diadakan baru-baru ini.

Pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) Limbang Mohd Zairulfiza Mohd Zain berkata walaupun diadakan sebulan sekali tetapi ia dapat melonjakkan ekonomi dan pendapatan peserta Bumiputera.

Menurutnya kebanyakan peniaga pakaian dan produk lain boleh mendapat pendapatan sehingga RM10,000 manakala peniaga makanan dan minuman memperolehi sekitar RM6,000 hingga RM7,000.

“Pendapatan peniaga memang lumayan dan memberangsangkan dengan peningkatan 50 peratus hasil perniagaan berbanding hari-hari biasa.

“Inilah hasrat kita (MARA) dalam membantu peniaga menjana dan memperkembangkan perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini semalam.

Zairulfiza berkata dengan adanya MARA Uptown, pengunjung dari negara jiran juga dapat meningkatkan kuasa membeli sekali gus menjadikan Limbang sebagai destinasi membeli-belah dan bukan setakat tempat persinggahan.

“Sebagai peneraju pem-bangunan ekonomi peniaga Bumiputera, MARA akan terus membantu dan membimbing bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Salah satu cara adalah melalui MARA Uptown untuk menarik lebih ramai pengunjung dari Brunei,Sabah dan kawasan sekitarnya singgah membeli-belah,” kata-nya.

Beliau berkata para peserta turut dimaklumkan dalam taklimat agar lebih kreatif dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan, produk dan hasil jualan tempatan.

“Keistimewaan MARA Uptown itu sendiri berkaitan dengan komitmen peserta dan usahawan Bumiputera dalam memantapkan produk dan kuantiti barangan.

“Kepelbagaian produk dan hasil jualan inilah faktor utama yang berjaya menarik tumpuan para pembeli dan pengunjung,” katanya.

Pada masa yang sama jelasnya ekonomi peniaga dapat ditingkatkan dan dibangunkan lebih cepat berbanding hari biasa.

Zairulfiza berkata berkonsepkan pasar malam, MARA Uptown akan diteruskan secara konsisten sebagai permulaan untuk membantu memperluaskan ekonomi usahawan Bumiputera.

“Dalam konteks yang lebih luas, ia juga merupakan pendekatan terbaik untuk menjadikan Limbang sebagai destinasi membeli-belah terkemuka di Kepulauan Borneo.

“Secara tidak langsung ia juga membantu memperkembangkan serta memeriahkan perniagaan yang ada di daerah ini dengan kemasukan ramai pembeli dan pengunjung dari luar,” tambahnya.

Mara Uptown diadakan sebulan sekali, kini mempunyai keahlian 80 peserta tetap terdiri daripada usahawan Bumiputera yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Namun berdasarkan sambutan luar biasa dan maklum balas positif yang diterima, MARA turut menambah keahlian dengan menjadikannya 88 peserta termasuk peniaga swasta yang turut serta dalam program itu.