Polis berkas lelaki disyaki rogol gadis bawah umur

2

MIRI: Polis semalam berjaya memberkas seorang lelaki kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur berusia 14 tahun.

Tangkapan ke atas suspek yang berusia 20 tahun telah dibuat sekitar jam 2.30 pagi semalam berikutan aduan yang dibuat mangsa di Balai Polis Pusat Miri.

Menurut sumber, sekitar jam 2 pagi hari sama, seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di kawasan berhampiran kuarters lama milik Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Miri-Pujut ada ternampak kelibat beberapa orang di dalam kuarters berkenaan.

Dia yang mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku terus menghubungi pihak polis untuk memastikan keadaan.

Polis yang tiba sekitar jam 2.30 pagi, mendapati enam orang, masing-masing tiga lelaki dan tiga perempuan berada di situ dalam keadaan yang mencurigakan.

Ketika disoal siasat awal polis, mereka mengaku hanya duduk minum-minum di situ. Pun begitu, setelah sangsi melihat kesan calar di kedua-dua belah tangan mangsa serta terdapat sebuah tilam di situ menyebabkan polis terus menyoal mangsa hingga dia mengaku telah dirogol oleh seorang daripada tiga lelaki terbabit.

Berikutan itu, polis telah menangkap suspek untuk disoal siasat lanjut berhubung kes tersebut dan pada masa sama menghubungi bapa mangsa untuk membawanya membuat laporan polis.