Polis menahan lelaki berusia 52 tahun dan merampas 10,642 biji pil eramin 5 di sebuah rumah

0

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan merampas 10,642 biji dadah pil jenis eramin 5 bernilai RM266,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Muda, Ampang dekat sini Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata, dadah berkenaan ditemui secara berasingan di mana 1,000 biji pil berkenaan disimpan di dalam sebuah kotak yang dibungkus kemas dengan kertas pembalut hadiah.

Beliau berkata, serbuan pada kira-kira jam 1 pagi itu turut menemui 9,642 biji pil eramin 5 lagi yang disembunyikan di dalam kenderaan dan bahagian lain di rumah suspek.

“Kita percaya pil itu mahu diedarkan untuk pasaran di kelab-kelab malam di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang berita di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Thaiveegan berkata, polis masih menjalankan siasatan kemungkinan lelaki itu, yang bekerja sebagai penjual barangan lusuh, merupakan anggota sindiket tertentu atau mempunyai rangkaian pengedaran dadah jenis berkenaan.

Beliau berkata, suspek direman sehingga 9 Okt ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Thaiveegan berkata, polis menahan tiga lelaki yang terlibat dalam kes pecah dan bakar rumah di sekitar Kajang, Cheras dan Balakong pada 30 Sept lepas.

Beliau berkata, polis menahan kesemua suspek dalam sebuah apartmen di Kajang, dekat sini dan turut merampas motosikal suspek serta senjata seperti parang, pisau, pistol mainan dan alat-alat yang digunakan untuk jenayah itu.

“Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia sekitar 20-an dan 30-an itu juga positif ujian dadah dan terlibat dalam lebih 30 kes samun sekitar negeri ini dan bergiat aktif sejak April lepas,” katanya.

Thaiveegan berkata, polis menyiasat kemungkinan kesemua suspek turut terbabit dalam kes pecah rumah dan bakar di daerah serta negeri lain.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 11 Okt ini.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan lelaki berumur antara 17 dan 36 tahun dipercayai terbabit dalam kes pecah cermin dan bakar kenderaan di kawasan perumahan Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 30 Sept lepas.

Thaiveegan berkata, kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan di sekitar Subang Jaya dan Puchong.

“Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi pada 29 Sept lepas, lapan kereta dipecahkan cermin manakala dua lagi dibakar.

“Kita percaya perbuatan ini bermotifkan persengketaan antara kumpulan dan kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kesemua mereka terbabit dalam kes lain atau tidak,” katanya.

Thaiveegan berkata, kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 dan 435 Kanun Keseksaan. — Bernama