Bangkai burung ditemui dalam limpahan minyak di New Zealand

0

WELLINGTON: Bangkai burung pertama telah dijumpai dalam minyak yang bocor dari sebuah kapal kontena yang terkandas di perairan New Zealand, kata pihak berkuasa semalam.

Maritim New Zealand (MNZ) berkata, empat bangkai burung dijumpai dalam limpahan minyak dan dua pusat penyelamat hidupan liar sudah didirikan.

MNZ secara rasmi mengisytiharkan kapal kontena seberat 47,000 tan ‘Rena’ sebagai kapal berbahaya selepas ia terkandas di atas sebuah terumbu awal kelmarin kira-kira 22 kilometer dari North Island.

Pihak berkuasa semalam turut menyatakan saiz limpahan minyak itu sudah meningkat dua kali ganda dalam masa beberapa jam sahaja.

Pengawal atas talian MNZ, Rob Service berkata, satu penerbangan pemantauan di ruang udara kapal itu pada petang semalam mendapati limpahan minyak itu sepan-jang lima kilometer, naik daripada dua kilometer pada sebelah pagi.

Menurutnya, minyak masih bocor dari semasa ke semasa dari kapal yang mengibarkan bendera Liberia itu, dipercayai datang dari paip yang rosak ketika ia melanggar Terumbu Astrolabe di perairan pantai tidak jauh dari Tauranga.

“Kami tidak tahu mengenai sebarang kebocoran sebenar dalam tangki minyak. Namun demikian, disebabkan oleh kerosakan meluas kepada kapal, ia sukar untuk menentukan skala dan skop kerosakan dengan tepat,” katanya.

Service berkata, mereka tidak tahu berapa banyak daripada 1,700 tan minyak atas kapal itu yang telah bocor.

Terumbu Astrolabe diliputi semalu dan span warna-warni, demikian menurut Jabatan Pemuliharaan, dengan anjing laut serta ikan seperti marlin yang banyak di perairan sekitar.

Service berkata, pasukan tindakan MNZ sedang meng-uji sama ada bahan pelerai boleh digunakan untuk menghentikan limpahan. — AFP