Saturday, October 1

Ibu mencampak bayi ke laut

0

DISELAMATKAN: Kelihatan anggota penguat kuasa semasa menyelamatkan bayi yang dibuang ke laut.

Tindakan pengemis elak ditahan anggota penguat kuasa

MENGGIGIL: Bayi yang berjaya diselamatkan masih menggigil kesejukan selepas dibuang oleh emaknya.

TAWAU: Operasi memburu pengemis jalanan yang dilancarkan pagi kelmarin dikejutkan dengan tindakan seorang ibu pengemis yang bertindak di luar dugaan apabila membuang bayi lelakinya ke laut untuk mengelak daripada ditahan sebelum berjaya diselamatkan oleh anggota penguat kuasa, dalam kejadian di pesisiran Pantai Sabindo di sini kelmarin.

Bayi yang baharu berusia enam bulan itu berjaya diselamatkan oleh anggota penguat kuasa dari Jabatan Kebajikan yang bertindak spontan melihat situasi itu dengan terjun ke dalam laut dan membawa semula bayi itu ke darat dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, tiga lagi anak pengemis yang berumur lingkungan enam hingga tujuh tahun berjaya melarikan diri dari ditahan pihak berkuasa selepas terjun dan berenang ke tengah laut.

Terdahulu, seramai 23 individu termasuk 13 kanak-kanak berumur 6 hingga 60 tahun ditahan dalam satu operasi bersepadu yang diadakan secara besar-besaran membabitkan beberapa agensi dan jabatan kerajaan pada malam Selasa.

Antara yang terlibat dalam operasi berkenaan adalah Jabatan Kebajikan, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

Operasi yang dijalankan di sekitar pusat bandar itu menumpukan kepada beberapa masalah yang sudah dikenal pasti, antaranya masalah gangguan orang kurang siuman dan pengemis.

Menurut Ketua Operasi berkenaan, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Bahagian Tawau, Asnah Kassim, operasi itu diadakan untuk memberi bantuan dan perlindungan kepada kutu-kutu rayau di daerah ini.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa terdapat aduan daripada orang ramai yang mengadu sering diganggu oleh orang kurang siuman selain pengemis-pengemis yang terdiri daripada golongan kanak-kanak di sekitar pusat bandar ini.

Katanya, selain memberi bantuan dan perlindungan, operasi itu juga dapat membantu membersihkan daerah ini daripada gangguan pengemis kanak-kanak yang sering berlegar-legar di pusat bandar.

Asnah berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada orang ramai yang menyatakan sering didatangi pengemis kanak-kanak terbabit untuk meminta wang daripada mereka.

“Kehadiran pengemis ini sedikit sebanyak mencemar keindahan daerah ini yang menjadi tumpuan pelancong asing,” katanya.