Pastikan susu 1Malaysia diedar segera

0

TAWAU: Sekolah-sekolah rendah di daerah ini digesa supaya sentiasa memastikan tahap keselamatan minuman susu yang diedarkan kepada murid-murid secara percuma.

Pegawai Pelajaran Bahagian Tawau, Darman Shah Asakil menggesa seluruh sekolah rendah di daerah ini agar mengendalikan pengedaran susu 1Malaysia secara sistematik, cepat dan selamat.

“Mereka kena memastikan murid-murid menerima dua kotak kecil susu pada setiap minggu,” katanya.

Darman turut menggesa kanak-kanak sekolah yang telah menerima minuman susu agar menggunakan secepat mungkin kerana jika disimpan dalam tempoh yang lama dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Susu 1Malaysia yang berlangsung di SJK (C) Yuk Chin di sini. Seramai 350 orang terdiri daripada warga pendidik dan murid-murid hadir pada program itu.

“Program seperti ini amat baik dalam mendidik orang ramai khususnya kanak-kanak sekolah tentang pentingnya budaya meminum susu bagi menjana kesihatan dan kehidupan yang aktif,” katanya.

Tambahnya, program itu juga secara tidak langsung akan melahirkan kesedaran di kalangan murid mengenai khasiat susu. Kesedaran ini menggalak mereka untuk meminum susu pada setiap hari ke arah melahirkan modal insan minda kelas pertama.