Rangka pelan tindakan rapi untuk keselamatan ICT

0

PENGHARGAAN: Pengarah Kampus Intan Sabah, Mohd nNwardi Saad menyampaikan cenderamata kepada Joseph (tengah) disaksikan oleh Pengarah Jabatan Komputer Negeri Sabah, Dr Mingu Jumaan (belakang).

KOTA KINABALU: Semua anggota perkhidmatan awam khasnya Pegawai Teknologi Maklumat (CIO) digesa merangka pelan tindakan rapi untuk memastikan ia relevan untuk jangka masa panjang dengan melibatkan semua pihak demi melindungi keselamatan data teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di jabatan masing-masing.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Joseph Guntavid berkata, dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan mewujudkan kerajaan elektronik, keselamatan ICT sektor awam perlu diberi penekanan bagi memastikan penggunaan teknologi berada pada tahap yang selamat.

Justeru, katanya, CIO memainkan peranan penting sebagai penasihat berhubung pelaksanaan inisiatif ICT di sesebuah jabatan dengan membudayakan penerangan dan aktiviti kesedaran kepada warga jabatan mereka di samping melaksanakan pemantauan berterusan.

“Beberapa insiden serangan virus ke atas data dan maklumat dalam laman web sehingga melumpuhkan laman web jabatan kerajaan merupakan petanda atau amaran supaya kita terus mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan maklumat agar tidak mudah diceroboh dan diancam.

“Kerajaan sendiri telah mengeluarkan Rangka Dasar keselamatan ICT bagi memastikan keselamatan maklumat sentiasa terkawal selain membentuk ‘Government Computer Emergency Response Team’ (GCERT) sebagai langkah menangani risiko keselamatan ICT,” katanya.

Joseph berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Technology Update Siri 2/2011 di Auditorium Tun Datu Mustapha, Kampus Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah, kelmarin.

Tambahnya, semua agensi kerajaan peringkat negeri atau persekutuan juga telah mengambil tindakan yang perlu bagi menjalankan ‘Security Posture Assessment’ secara berkala untuk mengenal pasti kelemahan dan menangani ancaman keselamatan terhadap sistem ICT masing-masing.

Katanya, matlamat ini dapat dicapai melalui amalan mereka bentuk, membuat, mengendali, mengguna dan melupus perkakasan komputer, pelayan (server) dan subsistem yang berkaitan secara cekap dan berkesan.

“Langkah ini seharusnya memberikan impak minimum atau seboleh-bolehnya tiada impak negatif kepada keselamatan ICT jabatan di samping mengamalkan konsep ICT Hijau (Green IT),” katanya.

Pada seminar sehari itu, sembilan kertas kerja dibentangkan kepada kira-kira 200 peserta dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.