Tevez bukannya tidak mahu bermain di Munich, kata penasihat

0

TEVEZ

LONDON, England: Penyerang Manchester City, Carlos Tevez bukannya tidak mahu bermain sebagai pemain gantian ketika pasukannya tewas di Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara, menurut penasihat beliau, Kia Joorabchian.

Tevez ketika ini digantung dua minggu sementara City melakukan satu siasatan ke atas dakwaan oleh pengurus kelab, Roberto Mancini di mana penyerang bintang itu tidak mengendahkan arahannya untuk masuk ke dalam padang semasa City tewas 0-2 di Jerman.

Semasa temu bual televisyen selepas perlawanan, Tevez kelihatan mengakui kesalahannya apabila berkata: “Saya tidak berasa mahu bermain, jadi saya tidak bermain.”

Tetapi penasihatnya, Joorabchian, bercakap di persidangan Pemimpin dalam Bola Sepak di London Rabu lepas, mendakwa terjemahan yang diberikan bagi pihak Tevez adalah tidak tepat.

“Satu perkara yang anda tidak dapat kritik ialah komitmen beliau apabila masuk ke dalam padang,” kata Joorabchian.

“Anda tidak boleh mengkritik beliau kerana tidak mahu bermain.

“Salah satu masalah terbesar ialah dalam satu situasi selepas perlawanan, persoalan dibangkitkan dan semuanya disalah tafsirkan.

“Jika anda tidak mempunyai seorang penterjemah profesional, anda mempunyai masalah. Terjemahan adalah tidak betul. Kedua-dua soalan dan jawapan dari Carlos telah diterjemah secara salah.”

Joorabchian kelihatan menyalahkan Mancini kerana situasi ini kerana beliau mendakwa Mancini bergelut untuk berdepan Tevez, yang mahu meninggalkan kelab sejak beberapa bulan atas sebab keluarga.

“Ini adalah perhubungan peribadi di antara dua pihak. Kita telah melihat apa yang berlaku sepanjang musim panas,” kata Joorabchian.

“Kita melihat (Cesc) Fabregas, (Samir) Nasri dan (Luka) Modric — dah ramai lagi — tetapi mereka adalah pemain berprofil tinggi yang telah menyerahkan permohonan berpindah, enggan bersama pasukan, enggan bermain. Ia adalah satu masalah secara umumnya.

“Pandangan saya ialah mereka enggan bermain dalam cara yang berbeza dan pengurus dan kelab menangani perkara ini dengan cara yang berbeza.

“Roberto mempunyai gaya pengurusan beliau sendiri dan ia adalah agak terus dan berbeza kepada Sir Alex Ferguson (Manchester United) atau Arsene Wenger (Arsenal).”

Joorabchian juga menegaskan rakaman TV menunjukkan Tevez jelas tidak gembira dengan permintaan Mancini untuk bermain dan kelihatan keliru dengan perbalahan di antara Mancini dan penyerang Edin Dzeko, yang naik berang selepas ditukarkan.

Beliau berkata: “Apa yang berlaku di bangku simpanan di Munich adalah satu kekeliruan seperti yang ditunjukkan dalam rakaman TV. Apa yang berlaku di Munich telah disalah tafsirkan.

“Kita melihat Nigel de Jong dimasukkan dan Carlos masih memanas badan dan pertengkaran di antara Roberto Mancini dan Edin Dzeko. Anda melihat pertengkaran ini berterusan dan Carlos duduk.

“Carlos kemudian berdiri dan kemudian lebih banyak jeritan dan beliau kembali duduk. Perkara seterusnya yang kami dengar ialah apa yang dikatakan oleh Rober-to. Saya kenal Carlos sejak beliau berusia 18 tahun dan anda tidak dapat mengkritik komitmen beliau dari segi mahu bermain.

“Beliau sudah bermain di Manchester City dengan suntikan (penahan sakit), dengan kaki yang lebam.

Beliau bermain di Corinthians di mana doktor menasihatinya untuk tidak bermain.”

Tevez kelihatan hampir pasti meninggalkan City apabila pasaran perpindahan pemain dibuka semula pada bulan Jun tetapi Joorabchian enggan membuat spekulasi mengenai masa depan penyerang antarabangsa Argentina tersebut.

“Saya tidak dapat meramalkan apa yang mahu dilakukan oleh Carlos.

“Beliau telah dinilai dan dikutuk sebelum kes disiasat sepenuhnya. Saya fikir kelab dan Carlos berada dalam satu kedudukan yang sukar,” kata beliau. — AFP