Bajet terbaik dan lebih realistik: Musa

0

SIDANG MEDIA...Musa (tengah) bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Hassanel Tahir (kiri) dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Ismail Abdullah ketika sidang media mengenai Belanjawan 2012 kelmarin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menganggap Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sebagai bajet terbaik yang pernah dibentangkan setakat ini.

Menurutnya, bajet yang dipanggil transformasi untuk memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat itu adalah bajet yang lebih realistik dan bukanlah populis.

Beliau berkata, ia juga adalah bajet yang inklusif dengan mengambil kira cabaran dan keperluan semasa bagi memenuhi harapan dan hasrat semua lapisan rakyat.

“Ia termasuklah dari kalangan peniaga, belia, penjawat awam, pembayar cukai dan rakyat keseluruhannya,” katanya pada sidang media mengenai Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Musa berkata, Perdana Menteri bukan setakat meneruskan, malah meningkatkan komitmennya terhadap pembangunan Sabah menerusi beberapa peningkatan pembangunan infrastruktur.

Tambahnya, ia termasuklah peningkatan infrastruktur bagi jalan raya Kota Marudu-Ranau, pembangunan projek berasaskan Kelompok Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Koridor Pembangunan Sabah (SDC), perumahan rakyat, dan bekalan air bersih.

“Bajet 2012 juga mengambil kira semua aspek pembangunan modal insan yang mana menerusi pemansuhan yuran sekolah jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan pembangunan modal insan sebagai generasi masa depan negara.

“Selain itu, Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan diperkenalkan bagi memantapkan lagi mutu perkhidmatan awam sebagai fasilitator pembangunan berdasarkan prestasi kerja yang lebih realistik,” jelasnya.

Musa berkata, banyak inisiatif pelaburan untuk sektor swasta akan dilaksanakan sebagai enjin pembangunan.

“Saya menyeru kepada semua pihak termasuk anggota pentadbiran, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat keseluruhannya agar terus berganding bahu dan bekerjasama bagi menjayakan usaha pembangunan yang dirancang menerusi belanjawan negara ini,” katanya.