Diberi RM14,000 sehektar jika tanam semula getah

0

MARANG: Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek semalam menggesa para pekebun kecil yang mempunyai getah yang sudah tua supaya segera mengusahakan tanaman semula.

Permohonan untuk tanam semula hendaklah dibuat di pejabat RISDA Negeri.

“Menerusi penanaman semula itu, RISDA akan memberi bantuan RM9,230 sehektar kepada setiap pekebun kecil di Semenanjung Malaysia manakala di Sabah dan Sarawak sebanyak RM14,000 sehektar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Program Bantuan Rumah dan pelancaran Kempen Tanam Semula Getah Peringkat Negeri Terengganu di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ibrahim Muhamad.

Hasan berkata, kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM121 juta kepada RISDA untuk memajukan tanah seluas 40,000 hektar di seluruh negara tahun ini di bawah progam itu.

Daripada jumlah itu sebanyak RM13.8 juta diperuntukkan kepada Terengganu melibatkan tanah seluas 1,500 hektar.

Hasan berkata, ketika ini harga getah di pasaran dunia cukup stabil, berikutan itu seharusnya pekebun kecil segera mengusahakan tanaman semula.

Menyentuh program bantuan rumah oleh RISDA, beliau berkata, sejak 2009 hingga September lepas, RISDA telah diperuntukkan RM238,193,690 melibatkan 10,205 unit rumah sama ada dibina baru atau dibaik pulih di Semenanjung Malaysia kecuali Perak dan Kedah.

Beliau berkata, pada tahun ini RISDA telah membina dan membaik pulih rumah sebanyak 894 buah melibatkan peruntukan sebanyak RM30,861,840. — Bernama

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM5,641,680 telah diperuntukkan bagi membina dan membaiki rumah di Terengganu melibatkan 213 unit. — Bernama