Tuesday, May 24

Indeks Prestasi Alam Sekitar M’sia dilaksana tahun depan

0

SEPAK MULA: Uggah menyepak bola sebagai simbolik perasmian Hari Sukan anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di Kompleks Sukan Bersepadu, di Kuching, semalam.

KUCHING: Indeks Prestasi Alam Sekitar Malaysia (EPI), yang merupakan sebuah instrumen pengukuran prestasi alam sekitar berteraskan data kuantitatif yang sulung di negara ini, akan mula dilaksanakan pada tahun depan.

Membuat pengumuman itu pada sidang media di sini semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah berkata, EPI itu akan membolehkan Malaysia mengukur sendiri prestasi pengurusan alam sekitar di setiap negeri sekali gus memberi panduan kepada negeri mengatur strategi dalam mengurus prestasi.

“Saya cadangkan kepada kabinet bahawa kita mesti mempunyai (EPI) tersendiri kerana kalau misal kata anda tanya saya bagaimana prestasi DBKU (Dewan Bandaraya Kuching Utara), saya tidak mempunyai indikator.

“Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan kementerian untuk membangunkan EPI dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10, dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2012,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong memberitahu,  nilai kuantitatif EPI dibentuk berasaskan penilaian seimbang terhadap dua matlamat utama pengurusan alam sekitar iaitu terhadap kesihatan alam sekitar dan ‘vitality’ ekosistem.

Menurutnya, sebanyak 25 indikator dipilih mewakili kategori dasar alam sekitar termasuk kesan alam sekitar terhadap kesihatan umum, air dan pencemaran udara.

Beliau menjelaskan, kajian itu akan merangkumi tiga komponen utama iaitu pembentukan metodologi dan prosedur bagi menghasilkan EPI Malaysia berasaskan model EPI Global, pelaksanaan penilaian terhadap Dasar Alam Sekitar Negara bagi memastikan sasaran.

Seterusnya, sebagai petunjuk prestasi yang ditetapkan adalah relevan serta membantu meningkatkan prestasi negara di peringkat antarabangsa.

Ia juga akan membantu meningkatkan perolehan data dari segi format, kualiti dan kuantiti agar sejajar dengan keperluan EPI global.