Wednesday, July 6

Penerbangan S’wak sendiri?

0

KUCHING: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk mewujudkan penerbangan serantau bagi melancarkan laluan penerbangan di negeri ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pengusaha-pengusaha pelancongan telah menghantar satu memorandum kepada kerajaan untuk mewujudkan polisi penerbangan Sarawak sendiri.

“Saya telah mengemukakan pandangan bahawa perlu ada pilihan untuk kita mempunyai penerbangan kita sendiri.

“Masyarakat bercakap mengenai polisi penerbangan tetapi apa yang diperlukan kini ialah logistik. Kita mempunyai pilihan sendiri tetapi ia perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Ketika ini saya masih lagi dalam proses persiapan untuk langkah seterusnya… tetapi saya tidak boleh mendedahkannya buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam sempena Persidangan Manik Antarabangsa Borneo Kedua di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2012, Abang Johari berkata ia adalah satu belanjawan yang menyeluruh dan memberikan banyak faedah kepada rakyat terutama mereka yang berhadapan dengan kenaikan taraf hidup.

“Saya menyambut baik penghapusan yuran sekolah dan aktiviti kokurikulum. Ini bermaksud pendidikan untuk anak-anak kita adalah percuma dari sekolah rendah hingga menengah.

“Langkah ini akan meringankan bebanan ibu bapa tidak kira daripada keluarga yang berpendapatan rendah, sederhana mahupun berpendapatan tinggi,” katanya.

Tambah Menteri Perumahan ini, cadangan untuk membina 10,000 unit rumah mesra rakyat sudah pasti akan dinikmati oleh Sarawak.

Selain itu katanya, kenaikan gaji dan umur persaraan kepada 60 tahun akan memberikan peluang kepada rakyat meneruskan perkhidmatan dalam perkhidmatan awam.

“Saya percaya, secara keseluruhannya belanjawan ini akan merangsang ekonomi kita kerana ia memberi insentif kepada sektor swasta dalam beberapa pelaburan apabila Kuala Lumpur menjadi pusat kewangan,” katanya.