SPDP5 tidak akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri

0

KUCHING: Sumber terdekat kumpulan yang menggelar diri mereka SPDP Berlima (SPDP5) semalam memberitahu kumpulan itu tidak akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut sumber itu, kenyataan menyatakan bahawa SPDP5 mahu berjumpa Najib hanyalah spekulasi yang diperbesar-besarkan.

Sumber itu menambah, spekulasi itu ditimbulkan oleh sekumpulan individu yang tidak berpuas hati ekoran pemberian surat tunjuk sebab kepada salah seorang ahli SPDP5 yang juga Naib Presiden SPDP Datuk Sylvester Entri Muran kerana didakwa sebagai ‘dalang’ di sebalik rancangan untuk menjatuhkan presiden.

Baru-baru ini penulis blog dan media tempatan melaporkan spekulasi menyatakan kumpulan berkenaan akan bertemu dengan Najib bagi mengadu masalah kepimpinan presiden parti (SPDP) Tan Sri William Mawan yang dikatakan tidak adil.

“Ia (pertemuan dengan Najib) hanya cerita yang direka oleh orang yang ada agenda dan kepentingan peribadi.

“Penulis blog dan media memainkan isu ini untuk publisiti murahan… kami juga tidak pernah mengatakan yang kami mahu menjatuhkan presiden… apa yang kami maksudkan ialah jadi seorang presiden yang adil,” kata sumber itu.

Dilaporkan juga kumpulan SPDP5 itu tidak berpuas hati kerana Mawan menggunakan hak keistimewaannya untuk memecat dan melantik Nelson Balang Rining sebagai setiausaha menggantikan Entri selepas Mesyuarat Agung Tritahunan SPDP pada Disember 2009.

Dikatakan juga SPDP5 tidak gembira dengan Timbalan Presiden Datuk Peter Nyarok, Bendahari Agung Datuk Seri Tiong King Sing dan Balang kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan presiden.

Sementara itu Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Peter Nansian enggan mengulas mengenai spekulasi tersebut dan apa-apa jua hal berkaitan politik ketika ini.

Beliau ketika dihubungi bagi mendapat pengesahan berhubung spekulasi tersebut lebih selesa untuk berdiam diri daripada memberikan kepastian berhubung sejauh mana kebenaran spekulasi itu.

“Saya tidak mahu komen apa-apa mengenai politik. Mereka boleh bercakap apa-apa sahaja mengenai perkara ini. Apa yang pasti saya tidak akan komen apa-apa,” katanya ringkas.

Nansian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru merupakan salah seorang daripada anggota kumpulan SPDP5.

Selain Nansian dan Sylvester, kumpulan SPDP5 turut dianggotai oleh Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe, ADUN Bekenu Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau merangkap Ketua Penerangan SPDP Paulus Palu Gumbang.