Kes culik rakyat Malaysia, Polis akan buat apa yang termampu

0

Khalid

KOTA KINABALU:  Polis akan lakukan apa yang termampu mengikut kuasa yang mereka ada bagi menyiasat kes penculikan seorang rakyat Malaysia di Pondohan Lok Angki, Sitangkai dekat Kepulauan Tawi Tawi, selatan Filipina baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata kes itu masih lagi dalam siasatan dan yang menjadi keutamaan sekarang ialah keselamatan mangsa.

“Biarkan polis jalankan tugas dulu, kita akan lakukan apa yang termampu mengikut kuasa-kuasa yang kita ada selain memberi keutamaan kepada keselamatan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program pelaksanaan Ops Utama Perdana Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) peringkat negeri di Lintasan Desoka di sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd  Zinin, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Khalid berkata, pihak polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran untuk menyiasat kes itu selain meningkatkan kawalan di pulau-pulau terutama kawasan Pantai Timur Sabah termasuklah Semporna, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Pada Selasa, sebuah akhbar nasional mendedahkan tentang kes culik seorang rakyat Malaysia ketika membeli ikan di Pondohan Lok Angki, Sitangkai di Kepulauan Tawi Tawi, selatan Filipina, Rabu minggu lalu.

Mangsa, Pang Chong Pong, berusia 47 tahun dan sudah beristeri itu berasal dari Kuching, Sarawak dikatakan dilarikan kumpulan penculik berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama tiga pekerjanya yang dipercayai warga Filipina menaiki dua buah bot untuk melakukan urus-niaga membeli ikan hidup di kawasan itu.

Difahamkan juga, mangsa yang merupakan pengusaha ikan sangkar di laut Kampung Bangau-Bangau, Semporna sering ke Sitangkai untuk membeli ikan hidup.

Mangsa dan tiga pekerjanya turut dipercayai telah berada di Sitangkai sehari sebelum kejadian.

Ketika di kepulauan itu, mangsa dilaporkan dihampiri empat lelaki yang tidak dikenali dan bersenjata api. Dia kemudian dilarikan ke lokasi yang belum diketahui.