Faktor kebakaran perlu dicegah

0

PADAM: Mohd Naroden memadam api sebagai gimik pelancaran program mencegah kebakaran di Simunjan, semalam.

Masyarakat diseru semai sikap waspada, elak bencana: Mohd Naroden

SIMUNJAN: Rakyat perlu memahami dan peka dengan faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada bencana kebakaran dan harus mengamalkan sikap sentiasa berhati-hati dan berwaspada.

Menteri Muda Perancangan Sumber, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, dengan mengamalkan sikap peka dengan risiko bencana itu, maka rakyat mampu mencegah kebakaran.

Justeru, katanya, sikap sentiasa berwaspada dengan pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada kebakaran adalah perlu difahami oleh semua masyarakat.

“Kita akui banyak faktor yang boleh menyumbang kepada bencana kebakaran baik di rumah mahupun pejabat, kilang dan sebagainya.

“Justeru, saya percaya dengan sikap berwaspada kita mampu mencegah berlakunya kebakaran,” kata beliau ketika berucap melancarkan Kempen Mencegah Kebakaran Peringkat Zon Samarahan di Dewan Mesra Simunjan, di sini semalam.

Mohd Naroden yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) berkata, kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Beliau menarik perhatian, antara punca paling utama berlaku kebakaran ialah kecuaian masyarakat sendiri.

“Banyak kebakaran yang berlaku disebabkan kecuaian kita seperti dapur memasak (di rumah), pendawaian yang kurang menepati piawaian sebenar dan sebagainya.

“Namun, segala kecuaian itu dapat diatasi jika masyarakat kita mempunyai kesedaran dengan memahami dan peka akan sikap berwaspada serta berhati-hati,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohammad, Penguasa Bomba Zon Samarahan Mohd Fauzi Kifli dan wakil Pegawai Daerah Simunjan, Sharifah Sofiyawati Wan Ibrahim.

Kempen pencegahan kebakaran itu dianjurkan oleh JBPM Zon Samarahan dan disertai oleh pasukan-pasukan sukarelawan bomba dari Kampung Sungai Bulu dan Sebuyau.

Pelbagai acara diadakan seperti demonstrasi memadam kebakaran oleh Pasukan Bomba Sukarela Sungai Bulu, pameran serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, dan Kelab Keselamatan Kanak-kanak (3K).

Mohd Naroden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan berkata, program itu diadakan secara kerap melibatkan seluruh rakyat pelbagai kaum di kawasan terbabit.

“Saya berharap program ini diadakan secara berterusan dengan melibatkan penduduk-penduduk di kampung-kampung yang jauh dari kawasan bandar,” katanya.