Kes bunuh berpunca gaduh kerana gaji bukan rompakan

10

SIBU: Tragedi berdarah di Sungai Empawah Khamis lepas yang menyaksikan tiga sekeluarga mati dibunuh, dipercayai oleh tiga warga Indonesia, adalah berpunca daripada satu pergaduhan yang bertukar menjadi ganas antara seorang majikan dengan pekerjanya dan bukan rompakan bersenjata seperti dikatakan berlaku sebelum ini.

Ketua Polis Sibu ACP Shafie Ismail berkata seorang daripada mangsa, Tiong Tang Ming, 69, mengupah tiga lelaki berusia lingkungan 20-an untuk menoreh di ladang getahnya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu diketuai pengerusinya, Dato Sri Wong Soon Koh yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut kes itu.

Dalam insiden 7.30 malam itu, ketiga-tiga penyerang, dipercayai pendatang asing tanpa izin yang berhasrat pulang ke negara asal menyerang Tang selepas dia dikatakan enggan membayar gaji mereka.

Mangsa terbunuh bersama anak lelakinya, Tiong King, 35, dan menantu Teu Lee Mee, 32, yang ingin membantunya.

Bagaimanapun, isteri Tang, Peh Kim Eng yang berusia 50-an, terselamat apabila dia pura-pura mati selepas ditikam, dan kini dirawat di hospital. — Bernama