LIGS diperuntuk RM29 juta untuk program NKEA

0

Pengurus Besar LIGS, Datuk Harris Mathews (tengah) sedang menandatangani dokumen MoU dengan salah seorang ketua blok sambil disaksikan oleh Dompok (belakang, tiga kanan)

KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah diperuntukkan sejumlah RM29 juta bagi menanam semula getah seluas 2,000 hektar dan 5,000 hektar tanaman baru di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata peruntukan sebanyak RM112.723 juta telah disediakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi program tanam semula 24, 000 hektar di Semenanjung Malaysia da 4,000 hektar di Sabah dan 10,000 hektar di Sarawak.

Katanya, peruntukan Risda juga adalah untuk program tanaman baru di Semenanjung dengan keluasan kira-kira 3,000 hektar.

“Peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dalam sektor getah menunjukkan bahawa kerajaan tidak meminggirkan kumpulan rakyat luar bandar, terutamanya kumpulan yang berkaitan dengan getah.

“Kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menentukan kumpulan ini dapat menikmati usaha pembangunan yang dilaksanakan, adalah diharapkan masyarakat luar bandar sedia berubah bagi menerima setiap program yang telah dirancangkan.

“Saya juga berharap masyarakat terus memberikan kerjasama kepada agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan mengurus program ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Tanam Semula dan Tanam Baru Getah di bawah Program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di sini kelmarin.

Menurutnya, LIGS sehingga kini sejak tahun 2000 telah menerima lebih 10,000 permohonan bagi menyertai program tanam baru getah secara berkolompok yang melibatkan kawasan seluas 37, 000 hektar yang merangkumi 374 blok di 24 buah daerah kecil seluruh negeri Sabah.

Di bawah program ini, katanya, bantuan bernilai RM14,000 sehektar diberikan kepada pekebun kecil yang terlibat di Sabah, yang meliputi bahan tanaman getah klon berkualiti tinggi dan input-input pertanian yang lain.

Dompok berkata, LIGS akan membantu para pekebun kecil dalam membangunkan tanaman getah mereka sehingga berhasil.

Beliau berharap semua pekebun kecil yang terlibat akan memberikan kerjasama untuk mencapai matlamat program yang dilaksanakan.

Pada majlis sama, Dompok juga menyampaikan insentif program tanam semula dan tanam baru getah kepada wakil-wakil blok masing-masing.

Berikutan itu, satu majlis menandatangan dan penyerahan perjanjian pembangunan tanah oleh ketua-ketua blok kepada pihak LIGS diadakan.

“Perjanjian ini akan memudahkan pelaksanaan program di mana semua pihak yang terlibat dalam perjanjian itu perlu memahami tujuan perjanjian dibuat serta bersama-sama menentukan semua pihak mendapat faedah dari perjanjian itu.

“Saya berharap semua ketua blok dapat memastikan ahli di bawah kendalian mereka memahami hasrat kerajaan atau program ini. Mereka perlu menyedari bahawa matlamat program ini adalah bagi kebajikan dan kesejahteraan semua dan sebarang masalah perlu diselesaikan dengan cara perundingan,” tambahnya.