Pekerja asing maut dipukul dengan besi pengupas kulit kayu balak

0

BINTULU: Akibat perselisihan faham, seorang warga asing maut apabila rakan senegaranya bertindak memukulnya dengan besi pengupas kulit kayu balak di kepala dalam kejadian yang berlaku pada 24 Oktober lalu jam 8 pagi di sebuah kilang papan di kawasan perindustrian Kemena di sini.

Mangsa dikatakan telah mencabar suspek untuk bergaduh namun suspek hanya mendiamkan diri. Dua hari sebelum kejadian mangsa juga dikatakan memarahi suspek kerana tidak pandai membuat kerja. Tetapi suspek tidak melawan dan mendiamkan diri.

Bagaimanapun kemuncak tragedi berdarah bermula semasa bekerja, mangsa membongkok hendak mengambil pisau, tiba-tiba suspek datang dari arah sisi kanan mangsa lalu terus menghayun besi ke sebelah kanan mangsa.

Berikutan itu mangsa yang berumur 30 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut namun pada jam 2 petang 25 Oktober, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Madang Usat yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian pergaduhan antara mangsa dan suspek itu berlaku dipercayai berpunca daripada salah faham dan caci -mencaci.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapat rawatan tetapi disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital keesokannya pada jam 2 petang akibat kecederaan di kepala,” ujarnya dalam sidang media di Balai Polis Pusat Bintulu semalam.

Madang berkata, pihaknya menerima laporan kejadian selepas dimaklumkan oleh pengurus pengawal keselamatan di kilang itu.

“Ia diikuti laporan polis yang dibuat pada jam 4 petang hari yang sama dan suspek berumur 24 tahun yang merupakan rakan sekerja mangsa telah berjaya ditangkap kelmarin dalam tempoh 24 jam kejadian itu berlaku.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut selama tujuh hari bermula 26 Oktober hingga 1 November depan dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas besi yang panjangnya satu kaki yang diipercayai digunakan oleh suspek di tempat kejadian.

Turut hadir sidang media itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bintulu ASP Batholomew Umpit.