Bahasa Melayu masih lagi terpinggir, kata Ose

0

OSE MURANG

Tahap penggunaannya di peringkat k’jaan negeri masih rendah berbanding dengan k’jaan persekutuan

KUCHING: Tahap penggunaan bahasa Melayu bagi urusan rasmi di peringkat kerajaan negeri masih rendah berbanding di peringkat kerajaan persekutuan.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Termuzi Abdul Aziz berdasarkan kepada hasil kajian DBP pada 2008-2009.

Menurut beliau, penggunaan bahasa Melayu didapati bukan sahaja rendah dalam urusan rasmi kerajaan malah premis-premis perniagaan, bangunan dan papan-papan iklan juga kurang menggunakan bahasa kebangsaan ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang yang mengakui perkara ini berkata penggunaan bahasa Melayu di kalangan penjawat awam dalam urusan rasmi di peringkat kerajaan negeri memang agak rendah ketika ini.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan menerusi Gagasan 1Malaysia sedang berusaha untuk meningkatkan kesedaran penjawat awam tentang dasar-dasar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.

“Kita tidak menafikan bahawa tahap penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi di peringkat kerajaan negeri agak rendah berbanding di peringkat kementerian dan kerajaan persekutuan.

“Meskipun penggunaan bahasa Melayu tidak lagi diwajibkan dalam urusan rasmi di peringkat kerajaan negeri namun ia digalakkan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Ceramah Dasar Bahasa Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak di sini semalam.

Bercakap mengenai majlis tersebut ia merupakan satu daripada pelbagai kegiatan dan usaha DBP untuk meningkatkan pemahaman penjawat awam terhadap dasar-dasar bahasa.

Pada masa yang sama ceramah ini juga diharap dapat meningkatkan kefahaman terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Justeru, Ose yakin ceramah seperti ini mampu meningkatkan tahap penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan amnya di peringkat kerajaan negeri.

Dalam pada itu Datuk A. Aziz Deraman yang pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah DBP dari 1994 hingga 2004 dijemput sebagai penceramah dan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Dasar Bahasa dan Pengukuhan Jati Diri Bangsa’.

Turut hadir, Penolong Pengarah (Pembinaan, Perkamusan dan Penyelidikan) DPB Jonathan Singki Lintan yang mewakili Ketua Pengarah DBP.