Bantu lahirkan tenaga kerja

0

SELAMAT ULANG TAHUN: Taib dan Ragad meraikan majlis Ulang Tahun Ke-50 RISM Cawangan Sarawak. Turut kelihatan Lau (dua kiri), Sudarsono (kiri) serta yang lain. — Gambar Jeffery Mostapa

RISM Cawangan Sarawak khasnya diminta menyumbang input secara langsung kepada institusi pendidikan: Taib

KUCHING: Institusi Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Sarawak khasnya diminta menyumbang input secara langsung kepada institusi pendidikan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang diperlukan Sarawak dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ini kerana pendekatan berkenaan disifatkan lebih pantas untuk melatih tenaga kerja dari awal berbanding hanya menggunakan sistem penyampaian.

“Maka itu saya mahukan para juruukur khasnya termasuk lembaga mereka memikirkan supaya mereka dapat menyumbang input secara terus kepada institusi pendidikan termasuk sijil yang diperlukan serta peranannya.

“Saya merasakan ia merupakan langkah yang lebih praktikal selain mewujudkan hubungan dengan industri yang lebih pantas,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Ulang Tahun Ke-50 RISM Cawangan Sarawak di sini, malam kelmarin.

Taib menegaskan bahawa pembangunan Koridor Tenaga Diperbahrui Sarawak (SCORE) bukan sahaja memerlukan bidang dari segi kemahiran dan akademik tetapi juga bidang ukur.

Beliau berkata, dengan itu RISM juga boleh membantu Sarawak mengenal pasti ruang pekerjaan di SCORE dengan lebih pantas melalui survei mereka.

Jelas beliau, RISM tahu bidang kemahiran yang diperlukan oleh Sarawak, sehubungan itu mereka perlu bergerak seiring membantu melahirkan lebih ramai juruukur di negeri ini.

Beliau menambah, RISM juga boleh menilai pelbagai kemahiran yang tepat dan menyumbang kepada pembangunan SCORE.

Kewujudan RISM dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei di negeri ini memainkan peranan yang cukup besar dalam kerja-kerja pengukuran tanah.

Kini ujar beliau, apa yang membimbangkan adalah permintaan tenaga kerja di SCORE iaitu setengah juta orang bagi membangunkannya menjelang tahun 2030.

“Justeru kita tidak boleh membelakangkan persoalan tentang latihan tenaga kerja yang amat diperlukan untuk pembangunan pada masa akan datang.

“Kita bukan sahaja menumpukan tentang sistem penyampaian tetapi meneruskan ia dengan melanjutkan kajian seperti mengguna pakai pendekatan kajian teknikal atau sijil di peringkat sekolah,” tegas beliau.

Hadir sama dalam majlis berkenaan isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Pengerusi RISM Cawangan Sarawak Lau Chai Seng, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Sudarsono Osman.