Pagar keselamatan dipindah jika ganggu lalu lintas

0

BAHAYA: Lo menunjukkan pagar keselamatan yang dibina terlalu hampir dengan persimpangan jalan.

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan memindahkan pagar keselamatan yang dipasang di sepanjang laluan pejalan kaki jika ia didapati mengganggu lalu lintas.

Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, pihaknya menyedari pembinaan pagar yang terlalu hampir dengan simpang jalan menghalang pemandu melihat kenderaan lain yang keluar dari persimpangan jalan lain.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengatakan pembinaan pagar keselamatan tersebut punca berlakunya kemalangan lebih-lebih lagi di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

“Pembinaan pagar keselamatan ini adalah sebahagian daripada Program Bandar Selamat yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan.

“Tujuannya ialah untuk menangani masalah jenayah jalanan khususnya ragut.

“Kalau benar ia punca kemalangan berlaku, kami akan pindahkannya ke lokasi lain yang sesuai bagi mengelak pembaziran,” katanya sambil menambah bagi tujuan itu MPP mendapat peruntukan RM200,000 daripada kerajaan pusat.

Mengenai perkembangan lain, MPP memandang serius pusatpusat karaoke di kawasannya yang yang beroperasi secara haram kerana kewujudannya tidak menepati undang-undang dan dikhuatiri menimbulkan masalah kepada penduduk setempat.

“Saya banyak menerima aduan mengenai pusat karaoke yang beroperasi tanpa lesen di kawasan MPP, nasihat saya kepada mereka ini, sila memohon lesen yang sah bagi mengelak tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mengetahui wujudnya pusat hiburan seperti itu yang beroperasi di kawasan mereka lebih-lebih lagi berhampiran dengan kawasan perumahan, dalam kampung atau tempat-tempat awam agar membuat laporan kepada MPP atau berhubung terus dengan polis.

“Saya galakkan orang ramai membuat aduan terus kepada polis kerana polis mempunyai kuasa mengambil tindakan undang-undang seperti menahan pemilik pusat berkenaan serta menyita peralatan yang ada di situ,” katanya.

Menurutnya untuk membuka pusat hiburan seperti karaoke, pengusaha harus mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (MPP), polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).