Sunday, February 28

Sri Kenyalang johan Pertandingan Lagu Puisi Kawasan Parlimen Petra Jaya 2011

0

KESENIAN: Salah sebuah kumpulan menyampaikan persembahan pada Pertandingan Lagu Puisi Kawasan Parlimen Petra Jaya 2011 yang diadakan di laman Kubah Ria, Kuching semalam.

KUCHING: Pengisian lirik lagu ‘Anak Watan’ yang menarik dan memenuhi kriteria ditetapkan dengan persembahan yang memukau telah menobatkan Kumpulan Sri Kenyalang sebagai johan Pertandingan Lagu Puisi Kawasan Parlimen Petra Jaya 2011.

Pertandingan anjuran Parlimen Petra Jaya dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) yang diadakan di laman Kubah Ria di sini, malam kelmarin disertai lima kumpulan yang terdiri daripada anak-anak muda.

Selain Sri Kenyalang, kumpulan lain ialah Ex-Starian, Puitika Figura, Putera Puteri Petra dan Rina Jingga.

Kumpulan Sri Kenyalang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 berserta hadiah iringan.

Pemenang tempat kedua dan ketiga iaitu Ex-Starian yang mendendangkan lagu puisi bertajuk ‘Pintu Hati Jendela Hati’ dan Puitika Figura dengan lagu ‘Bahasaku Luka Lagi’ masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM400, RM300 berserta hadiah iringan.

Manakala, kumpulan Putera Puteri Petra dan Rina Jingga juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai sebanyak RM200 berserta hadiah iringan.

Sayembara Lagu Puisi 2011 yang julung kalinya diadakan sebagai antara pengisian program Berambeh Bahasa Parlimen Petra Jaya 2011 merupakan wadah untuk mengetengahkan bakat dalam seni muzik dan nyanyian melalui penciptaan irama dengan menggunakan puisi sebagai lirik.

Hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah Faizuddin Abdul Rahman yang mewakili Ahli Parlimen Petra Jaya merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, wakil Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari dan bekas Ketua Pengarah DBP Datuk A. Aziz Deraman.