MARA bekerjasama dengan Brunei: Mohd Zairul

0

Hubungan baik akan dijalinkan bagi menerokai pasaran baru antara wilayah Limbang dan Brunei

BERTUAH: Zairulfiza (dua kiri) dan yang lainnya ketika menyerahkan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang pemenang di MARA Uptown malam kelmarin.

 

LIMBANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Limbang menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam dalam menerokai pasaran baru di kedua-dua wilayah terbabit.

Pegawainya Mohd Zairulfiza Mohd Zain berkata, kerjasama baik itu terjalin hasil lawatan ketua pengarah MARA sendiri pada 26 Oktober lepas.

Menurutnya, ia memberi kelebihan kepada kedua-dua wilayah untuk menerokai pasaran baru yang berpotensi untuk dibangunkan sekali gus menjana pendapatan usahawan Bumiputera di sini.

“Bagi mengukuhkan lagi kerjasama khususnya dalam bidang perniagaan, kami turut menerima beberapa permintaan daripada usahawan tempatan di Brunei untuk menyertai MARA Uptown bulan November ini nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini malam kelmarin.

Zairulfiza berkata, kerjasama ini nanti pastinya memberi manfaat dan impak positif terhadap pendapatan dan ekonomi usahawan di kedua-dua wilayah sekali gus dapat mempromosikan produk dan barangan tempatan mereka.

Beliau juga optimis kepelbagai produk tempatan yang dijual pada MARA Uptown setiap bulan berjaya menarik tumpuan pengunjung terutama dari negara jiran untuk membeli-belah di sini.

“Kami memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menunjukkan kreativiti masing-masing dalam usaha menarik lebih ramai pembeli membeli barangan mereka.

“Usaha ini menampakkan kejayaan kerana setiap bulan peniaga akan mempamerkan kelainan hasil jualan untuk menambah pendapatan mereka,” tambahnya.

Beliau memberitahu, keunikan parang tempatan Limbang turut dipamer dan dijual kepada pengunjung.

“Ini adalah strategi MARA dalam menarik kemasukan pengunjung sekali gus memperkenalkan Limbang sebagai destinasi membeli-belah untuk jangka masa panjang,” katanya.

Zairulfiza berkata, sejak dilancarkan pada Julai lepas sehingga Oktober ini, MARA Uptown berjaya menarik kemasukan sekitar 10,000 pengunjung yang kebanyakannya dari negara jiran itu.

“Jumlah ini meningkat daripada apa yang kita sasarkan pada awal pelancarannya. Ia juga merupakan petanda positif dalam mempromosikan Limbang dan memeriahkan ekonomi di sini serta menjana industri pelancongan pada masa hadapan,” tambahnya.

Katanya selain Brunei, beliau mahu  pelancong dari luar negara yang  menjalankan aktiviti lasak melalui Limbang ke Gunung Mulu dapat singgah dan menikmati keunikan MARA Uptown.

Sementara itu, sebanyak 90 gerai menyertai MARA Uptown kali ini termasuk dua daripada syarikat insurans, satu gerai menempatkan Kelab Seni Parang, 18 gerai minuman dan makanan dan selebihnya produk kraf tangan.