Bulan mencegah jangkitan Malaysia kini bermula

0

PETALING JAYA: Bulan Mencegah Jangkitan Malaysia (IPMM) yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin baru-baru ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di negara ini supaya mengambil langkah pencegahan efektif terhadap penyakit berjangkit.

Menurut Rosnah, masyarakat harus mengamalkan kebersihan sebagai antara cara penting mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit.

“Seperti yang anda lihat pada masa sekarang, ramai yang mengalami masalah kesihatan dan kempen seperti ini adalah satu inisiatif yang baik bagi pihak kami untuk menyedarkan masyarakat,” katanya.

Kempen ini merupakan anjuran bersama Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) dan Syarikat Clorox (Clorox) di bawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kempen yang berlangsung selama sebulan ini turut disertai pakar dari dalam serta luar negara. Aktiviti lain yang akan diadakan termasuklah pengedaran sejuta risalah berita pendidikan ke kedai runcit terpilih, hospital dan klinik kerajaan.

Bagi mengekalkan profail pencegahan jangkitan selama sepanjang tahun, IPMM juga akan mengadakan pameran bergerak bagi membawa maklumat pencegahan jangkitan dan nasihat ke seluruh pelusuk masyarakat termasuk di perbandaran, kampung, sekolah dan pusat-pusat komuniti lain.

Hadir sama pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) Prof Dr Yasmin A Malik,serta Pengurus Besar Syarikat Clorox (Clorox) di Asia Tenggara, Jepun, Korea dan Kepulauan Pasifik Daniel Ong Chong Pin.