Emas daripada sukan tradisional bonus kepada kontinjen negara

0

KUALA LUMPUR: Adalah menjadi bonus bagi kontinjen Malaysia sekiranya peserta negara mampu meraih pingat emas daripada sukan tradisional dan ekstrem dalam Sukan SEA ke-26 yang dianggap memberi kelebihan kepada tuan rumah Indonesia untuk menambah jumlah kutipan pingat.

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata walaupun kontinjen negara turut menyertai jenis sukan berkenaan namun tumpuan utama Malaysia ialah jenis sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik, Asia dan Komanwel.

“Bagi kontinjen Malaysia, jika menang pingat daripada sukan tradisional dan ekstrem itu ia dianggap bonus walaupun tumpuan kita pada sukan bertaraf Olimpik seperti badminton dan berbasikal,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Antara sukan tradisional yang dipertandingkan di Sukan SEA Indonesia yang secara rasmi akan bermula pada Jumaat depan ialah acara perlumbaan perahu tradisional sementara sukan ekstrem pula seperti mendaki tembok tiruan dan luncur angin (paragliding).

Dalam pada itu, paragliding diharapkan mampu menyumbang dua pingat emas buat negara di Jakarta nanti.

Mohd Khairul Kamaruddin salah seorang peserta negara yang akan menggalas cabaran sukan itu berkata sasaran dua emas adalah realistik berdasarkan prestasi semasa peluncur negara menyertai pertandingan dalam negara yang disertai peluncur dari serata negara termasuk Asia Tenggara.

“Kita juga mensasarkan Muhamad Faridil Fadzreen Nordin mampu menyumbang emas kerana beliau merupakan juara Open Distance tahun lepas dalam pertandingan Jempul Paragliding Cross Country International.

“Pada masa itu antara yang menyertai adalah dari Thailand, Taiwan, Afrika Selatan, Indonesia dan England,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. — Bernama