KOTA KINABALU: Anggapan pertama daripada para pelancong adalah penting kerana ia akan memberikan impak positif dalam sektor pelancongan di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata tanggapan pertama daripada pelancong yang datang ke negeri ini seharusnya diberikan perhatian kerana menerusi tanggapan-tanggapan positif ini akan menjamin kedatangan pelancong di Sabah di masa akan datang.
Katanya, Bandaraya Kota Kinabalu memainkan peranan penting dalam perkara itu kerana ia merupakan pintu gerbang kemasukan pelancong ke negeri ini sebelum melawati kawasan pelancongan yang lain di sini.
“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain di negeri ini dapat mencontohi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam membantu membangunkan industri pelancongan di daerah masing-masing.
“Dengan penubuhan Jawatankuasa Pelancongan di PBT masing-masing, saya berharap masalah yang berkaitan dengan pelancongan di peringkat daerah dapat diselesaikan dengan lebih efektif,” katanya ketika menjadi tetamu kehormat sempena KK City Tourism Networking High Tea di sini kelmarin.
Masidi juga mengucapkan syabas kepada DBKK atas kejayaan membawa anugerah the Best Presentation Award sempena the 5th Tourism Promotional Organization (TPO) for Asia Pacific Cities, 5th General Assembly di Dahlian, China baru-baru ini.
Menurutnya, majlis yang diadakan juga bertujuan mengadakan jaringan perhubungan dan kerjasama dengan pemain utama pelancongan yang bertindak sebagai satu platform strategik dalam usaha untuk mengeratkan lagi rangkaian jaringan kerja yang berkesan antara pelbagai agensi.
Beliau berharap rangkaian hubungan antara pelbagai agensi akan berterusan, berkekalan dan bertambah luas ke arah matlamat yang sama serta seiring dengan halatuju Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Mayor DBKK, Datuk Abidin Madingkir berkata walaupun bukan tugas utama DBKK untuk mengambil berat tentang industri pelancongan tetapi adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai sebuah PBT untuk menyokong segala usaha kerajaan bagi memantapkan dan memajukan lagi sektor itu.
Katanya, sejajar dengan matlamat itu, DBKK telah merancang untuk membangunkan serta mengindahkan Bandaraya Kota Kinabalu dengan menganjurkan beberapa program seperti program 5K iaitu kebersihan, keindahan, keselamatan, keteraturan dan kesejahteraan.
“Penglibatan DBKK dalam Tourism Pacific Organisation merupakan satu inisiatif DBKK bagi mengembangkan rangkaian kerjasama dengan bandaraya lain di Asia Pasifik.
“TPO yang berpusat di Korea juga berfungsi sebagai sekretariat dan platform kepada ahli-ahlinya untuk saling bertukar pendapat serta maklumat pelancong antara bandaraya yang terlibat,” katanya.
Tambah Abidin, kejayaan penganjuran program itu telah meletakkan nama Bandaraya Kota Kinabalu sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di rantau Asia Pasifik.