JKNS beli kereta api baru

0

Susulan tragedi kereta api rempuh lori tangki minyak

KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) akan membeli sebuah kereta api diesel yang baru bagi memastikan perkhidmatan kereta api di negeri ini berjalan seperti biasa

Pengurus Besar JKNS, Mohd  Zain Mohd Said berkata pembelian kereta api diesel yang baru itu adalah bagi menggantikan kereta api yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) lebih seminggu yang lepas.

“Sementara menunggu kerja-kerja pembaikan landasan (kereta api) yang mungkin memakan masa, JKNS telah pun membuat rancangan untuk meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membeli kereta api yang baru.

“Ini kerana sekiranya perkhidmatan kereta api dijalankan semula Jumaat nanti, perjalanan akan terhad kerana hanya tinggal satu kereta api yang boleh digunakan setakat ini,” katanya di sini kelmarin.

Menurutnya, JKNS sebelum ini mempunyai dua buah kereta api diesel yang mana kedua-duanya juga dibeli selepas mendapat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, jabatan itu kini hanya mempunyai satu kereta api sekiranya ia beroperasi semula berikutan sebuah lagi terlibat dalam kemalangan terbabit.

Sebelum kemalangan itu berlaku, perkhidmatan kereta api melibatkan dua perjalanan pergi balik dari Kota Kinabalu ke Beaufort kira-kira 90 kilometer dari sini dan satu lagi perjalanan pergi balik dari sini ke Papar.

Dua buah keretapi diesel yang digunakan sebelum ini juga dibeli dengan harga RM32 juta dari negara China.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuka papan iklan yang terletak di tepi jalan berhampiran tragedi kereta api dan lori tangki minyak itu berlaku.

Difahamkan, papan tanda itu dibuka selepas mendapat aduan bahawa ia menghalang penglihatan pemandu kenderaan yang menggunakan lintasan di atas landasan kereta api berkenaan.

Manakala, stesyen minyak Shell yang terletak berhampiran lokasi kemalangan kereta api kedua terburuk itu juga masih kekal ditutup sehingga kini.