Beatrice hadapi proses sukar, akui Abdul Karim

18

Beatrice

KUCHING: Mangsa ‘keldai dadah’ Beatrice Laus yang ditangkap di Melbourne, Australia Ahad lepas berdepan dengan proses yang sukar untuk terlepas daripada tinda-kan undang-undang negara tersebut.

Perkara tersebut diakui Menteri Muda Kemajuan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberitahu, terlalu banyak prosedur perlu dilalui oleh mangsa untuk mempertahankan dirinya.

“Selalunya, kalau perkara ini sudah berlaku, terdapat banyak proses undang-undang yang perlu dilalui di mana dia (Beatrice) akan dihadapkan ke mahkamah dan dia terpaksa membuktikan bahawa dia memang benar-benar tidak bersalah serta dipergunakan.

“Saya sebagai peguam terus terang saya katakan… ia bukan satu proses yang mudah, tambahan memang dia yang membawa beg itu, jadi bukti-bukti yang dia ada perlulah kukuh untuk membuktikan memang benar dia diper- gunakan… jika tidak, dia mungkin akan dijatuhkan hukuman,” katanya kepada pemberita.

Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya terdahulu menyempurnakan majlis penutupan Bicara Bestari ‘Belia VS Sektor Perkhidmatan’ di sini, semalam.

Menurut Karim lagi, pihak kerajaan buat masa ini juga tidak mempunyai bukti untuk membela dan mengata-kan Beatrice (gambar) tidak bersalah dalam hal terse- but.

“Pada masa ini, kita tidak mempunyai bukti untuk mengatakan dia (Beatrice) tidak bersalah kerana pada masa ini, apa yang kita pasti, memang dia ada membawa benda (dadah) itu.

“Oleh itu, ia terpulang bagaimana pihak di Australia untuk menjalankan proses undang-undang terhadapnya. Kalau betul dia dipergunakan dan dadah tersebut bukan miliknya serta tidak mempunyai niat untuk membawa dadah tersebut, mungkin dia akan dibebaskan,” katanya.

Beatrice, 27, anak kelahiran Kampung Seratau, Jalan Kuching-Serian bakal berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang daripada 25 tahun atau denda A$550,000 (RM1.7 juta) atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Beatrice dalam akhbar tempatan semalam dilaporkan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne kerana dituduh cuba menyeludup masuk 1.5 kilogram dadah jenis heroin menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Ahad lepas.

Beatrice yang juga merupakan seorang jururawat di sebuah hospital swasta di negeri ini diperintah ditahan sehingga sebutan semula kes pada 9 Januari tahun hadapan.

Beatrice dipercayai telah menjadi mangsa ‘keldai dadah’ oleh seorang lelaki bernama ‘Anthony’ warganegara Nigeria yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook.

Sementara itu, bapa Beatrice, Laus Johie membuat laporan polis berikutan kehilangan anaknya di Balai Polis Siburan sekitar jam 10 pagi semalam untuk tujuan guaman.

“Kami agak terkejut serta panik dengan peristiwa ini dan lambat membuat laporan polis.

“Ketika membuat laporan saya hanya memberitahu pegawai bertugas apa yang Duta (Malaysia di) Melbourne beritahu pada saya kerana itu sahaja yang saya tahu mengenainya (Beatrice),” kata Laus ketika dihubungi semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot mengesahkan Beatrice berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan kerajaan Australia.

Menurut Riot, beg yang dibawa oleh Beatrice disahkan kementeriannya memang milik ‘Anthony’ tetapi didaftarkan atas nama mangsa, yang dipercayai modus operandi sindiket dadah melibatkan warga Nigeria terhadap orang tempatan.

“Kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mahu melanggar peraturan kerajaan Australia jika mangsa d dapati bersalah di bawah Akta Vienna 1963 yang menegah kerajaan lain campur tangan dalam peraturan negara terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.