Persiapan Brazil dapat teguran lagi

0

PENING-PENING: Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke sedang meneliti satu dokumen ketika menghadiri satu mesyuarat jawatankuasa bagi Undang-Undang Am Piala Dunia 2014 di Brasilia, Brazil semalam. Dalam mesyuarat berkenaan, Valcke memberi amaran sekali lagi kepada Brazil tentang persiapan mereka untuk temasya berkenaan yang dilihat masih ketinggalan dari jadual. — Gambar Reuters

FIFA anggap kerja pembinaan untuk Piala Dunia 2014 masih ketinggalan

BRASILIA, Brazil: Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Jerome Valcke memberikan amaran terbaru kepada Brazil Selasa lepas tentang persiapan Piala Dunia 2014 yang kelihatan ketinggalan dari jadual sambil menggesa kerja-kerja pembinaan dipercepatkan.

“Kita ketinggalan, kita tidak mampu kehilangan sehari lagi,” kata beliau ketika memberitahu satu jawatankuasa parlimen yang menyemak rang undang-undang mengenai Piala Dunia.

“Bergerak di Brazil bukannya mudah. Untuk memandu di Sao Paulo, dari satu tempat ke satu tempat lain seperti mimpi ngeri. Untuk pergi ke lapangan terbang, ia memerlukan setengah hari. Ini tidak boleh berlaku (semasa temasya),” tambah beliau.

Beliau menggesa pihak berkuasa menggandakan usaha untuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan supaya dapat menerima ratusan ribu pelancong yang dijangkakan membanjiri Brazil untuk Piala Dunia.

FIFA berulang kali menyuarakan kebimbangan tentang perkembangan di 12 venue untuk Piala Dunia 2014.

Pada pertengahan bulan September, kerajaan Brazil memberi jaminan bahawa venue-venue berada dalam jadual pembinaan atau naik taraf dan mampu siap menjelang Disember 2012.

Tetapi kerajaan turut mengakui bahawa kerja-kerja belum bermula di lima dari 13 lapangan terbang yang akan menerima jutaan pelancong.

Brazil, yang turut menganjurkan Sukan Olimpik 2016, perlu membelanjakan lebih dari 11.4 bilion dolar untuk memperbaiki jalan, meningkatkan kawalan keselamatan dan infrastruktur telekomunikasi negara, menurut satu kajian oleh Yayasan Getulio Vargas dan perunding Ernst Young.

Valcke berkata Piala Konfederasi, yang akan berlangsung di Brazil pada 2013, “pastinya akan menjadi satu ujian penting bagi kita tetapi ia adalah agak lewat untuk melakukan perubahan asas. Jadi adalah penting untuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan sekarang.”

Dan beliau mengakui bahawa FIFA tidak berminat dengan rancangan Brazil untuk mengenakan bayaran tiket Piala Dunia yang lebih rendah kepada penduduk tempatan berusia lebih 60 tahun dan juga para pelajar.

“Kami tidak mahu campur tangan dengan rang undang-undang Brazil. Kami mahu melihat usul mana dari undang-undang ini boleh diguna pakai di Piala Dunia dan yang ini tidak dapat diguna pakai,” tambah beliau.

Valcke berkata FIFA, yang mahu menghalang penjualan tiket secara haram, menerima harga separuh untuk golongan berusia tetapi mencadangkan satu yuran masuk minimum 25 dolar untuk pelajar.

Harga tiket potongan mewakili 10 peratus jumlah keseluruhan tiket untuk Piala Dunia di sebuah negara di mana pendapatan bulanan minimum ialah 314 dolar.

Semasa persidangan parlimen itu, beberapa penggubal undang-undang, termasuk bintang legenda Brazil, Romario, menganggap komen Valcke sebagai “ancaman”.

Romario, yang merupakan wakil rakyat mewakili Parti Sosialis Brazil, yang juga salah seorang anggota skuad juara dunia 1994 Brazil, berkata beliau mahu menghalang “FIFA daripada mewujudkan sebuah negara dalam negara.”

Dan beliau merujuk kepada dakwaan rasuah yang menyelubungi badan induk bola sepak dunia itu.

Ketika Valcke tidak mengendahkan kenyataan Romario, bekas bintang bola sepak itu memberitahu Valcke: “Kamu belum menjawab soalan saya. Ia seperti satu sarkas di sini.”

Valcke juga mengulangi desakan FIFA untuk penjualan minuman keras terkawal di arena sukan sedangkan di bawah undang-undang Brazil, penjualan minuman keras dilarang di stadium-stadium.

“Kita mempunyai satu perjanjian dengan rakan penaja, Budweiser,” kata beliau.

FIFA berharap untuk mencapai satu persetujuan dengan undang-undang Brazil mengenai Piala Dunia menjelang satu pertemuan di antara Presiden FIFA, Sepp Blatter dan Presiden Brazil, Dilma Rousseff pada lewat bulan ini. — AFP