Empat maut, lima parah nahas treler-bas

0

TERSELAMAT: Beberapa orang mangsa kemalangan yang melibatkan sebuah bas persiaran di Km382 Lebuhraya Utara Selatan (hala selatan) dekat Slim River, mendapatkan rawatan di Hospital Slim River, semalam. — Gambar Bernama

Bas rombongan sekolah dilanggar dari belakang ketika berhenti selepas terbabas

SLIM RIVER: Empat maut dan lima cedera parah apabila sebuah treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas rombongan sekolah yang berhenti di tepi jalan selepas terbabas di Km382, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang di sini awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Md Tahir Kasim berkata, mereka yang maut dalam kejadian jam 5 pagi itu ialah guru Siti Hajar Mohamad, 33, dan dua pelajar Khairul Anwar Azhan, 15, dan Maysarra  Zaidi, 15, yang merupakan anggota rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Seorang lagi yang maut ialah Ketua Wanita UMNO cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45, katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Slim River di sini, semalam.

Siti Hajar meninggal dunia di Hospital Slim River manakala tiga yang lain maut di tempat kejadian, katanya.

Katanya, lima yang cedera parah termasuk mengalami patah teruk sebelum ini dirawat di hospital yang sama telah dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, 22 mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Slim River dan menurutnya bas itu membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru serta seorang pemandu kedua.

Md Tahir menjelaskan Basarah adalah penumpang sebuah bas lain yang berhenti untuk membantu mengeluarkan pelajar di dalam bas yang terbabas itu sebelum nahas itu berlaku.

“Dalam usaha membantu mengeluarkan pelajar sekolah yang berada di dalam bas terbabit, secara tiba-tiba sebuah treler merempuh sebahagian belakang bas,” katanya.

Katanya, punca kejadian masih disiasat dan dipercayai bas itu terbabas disebabkan faktor kecuaian.

Pemandu bas berusia 25 tahun dan pemandu treler kini ditahan polis untuk siasatan manakala kedua-dua kenderaan berkenaan turut dibawa ke Balai Polis Slim River, katanya. — Bernama