Kenu gagal sumbang emas pertama

0

GAGAL: Atlet mendayung negara, Hamdan Mohamad, Abdul Halim Heesham, Mohd Noh Parmin dan Mohd Effendi Azaha gagal dalam usaha meraih sebarang pingat dalam acara kayak K4 1,000M pada Sukan SEA ke-26 di Tasik Cipule, Kerawang semalam. — Gambar Bernama

Kesemua pendayung negara gagal raih sebarang pingat pada hari pembukaan Sukan SEA ke-26

JAKARTA: Hasrat skuad kenu untuk menyumbangkan pingat pertama, tanpa mengira warna, kepada kontinjen Malaysia tidak kesampaian selepas kesemua pendayung negara gagal meraih sebarang pingat dari acara kenu pada Sukan SEA di Indonesia, yang bermula secara rasminya di sini semalam (Jumaat).

Acara kenu yang menawarkan lima pingat emas semalam, menjadi pembuka tirai kepada perebutan keseluruhan 542 emas yang ditawarkan pada temasya yang berlangsung hingga 22 November ini.

Diadakan di Danau (Lake) Cipule, Kerawang, lebih kurang 90 km dari sini, menyaksikan pasukan Thailand mendominasi pertandingan dengan mengutip tiga pingat emas sementara Indonesia memperoleh dua emas.

Pada acara akhir kenu bagi kategori lelaki C1, C2, K1, K2 dan K4, yang kesemua melibatkan jarak 1,000 meter, pendayung negara jelas tidak berupaya mencabar kehebatan pendayung tuan rumah dan Thailand.

Pendayung Thailand, Wichan Jaitieng juga muncul sebagai atlet pertama yang berjaya mengutip pingat emas pada temasya ke-26 di Indonesia itu selepas mencatat tiga minit, 55.59 saat untuk mengungguli kategori K1 (pendayung tunggal).

Pendayung Malaysia kelahiran Sarawak, Kenny Dalglish David yang bertanding dalam acara sama, tercorot daripada kesemua tujuh pendayung di peringkat akhir dengan mencatat 4:20.57s.

Dalam acara K2 (dua pendayung), Abdul Halim Heesham dan Mohd Effendi Mohd Azaha juga berada di kedudukan tercorot daripada tujuh pendayung di peringkat akhir yang bertanding dengan mencatat 4:04.87s berbanding pendayung Thailand yang mengutip emas, Piyaphan Phaophat dan Nathaworn Waenphrom yang melakukan 3:28.94s.

Dalam acara K4 (empat pendayung) Hamdan Mohammad, Abdul Halim Heesham, Mohd Noh Parmin dan Mohd Effendi Mohd Azaha berada di kedudukan terakhir daripada tujuh pasukan dengan catatan 3:37.06s.

Emas dimenangi pendayung Thailand (Piyaphan Phaophat, Chatcharit Bunmuen, Naihaworn Waenphkum dan Nattaphon Yatra) yang melakukan 3:09.68s.

Indonesia memperoleh emas menerusi Eka Octarorianus dari acara C1 sebelum bergandingan dengan Anwar Tarra untuk mendapat emas dari acara C2. Malaysia tidak menyertai kedua-dua acara ini.

Jurulatih skuad kenu negara, Sham Husin berkata kecuali Mohd Noh dan Hamdan yang menyertai temasya ini buat kali kedua selepas beraksi di Korat, Thailand pada 2007, pendayung lain merupakan pelapis yang beraksi buat pertama kali di saingan Sukan SEA.

“Penyertaan atlet negara di Indonesia ini sebagai pendedahan awal sahaja kerana saya mensasarkan mereka untuk beraksi pada Sukan SEA di Myanmar pada 2013,” katanya. — Bernama