Lebih banyak tenaga mahir untuk bidang perikanan

0

43,700 pekerja bagi tangkap 1.7 juta metrik tan ikan setahun

LUMUT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meningkatkan usaha melatih tenaga mahir dalam bidang perikanan bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohd Johari Baharum berkata negara memerlukan 43,700 tenaga mahir dan separuh mahir dalam industri perikanan negara bagi mengeluarkan hasil tangkapan sebanyak 1.7 juta metrik tan setahun menjelang tahun 2020.

“Keperluan tenaga mahir dalam industri perikanan negara semakin membimbangkan dan memberi kesan terhadap pendapatan negara yang disumbangkan oleh sektor itu.

“Sehubungan itu, pihak kementerian menerusi Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) akan melatih tenaga pengajar dan tenaga mahir dalam bidang pertanian termasuk sektor perikanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Latihan Pembangunan Kemahiran Tenaga Pengajar Bidang Teknologi Tangkapan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di sini semalam.

Pada majlis itu seramai 45 tenaga pengajar menerima sijil tamat kursus daripada Johari.

Johari berkata, bagi keperluan melatih dan menyediakan tenaga mahir dan separuh mahir dalam bidang perikanan, NATC akan mempercepatkan program membina sebuah Sekolah Perikanan di Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini.

“Fasa pertama iaitu melibatkan kerja-kerja membersih, merata dan menambun tanah telah selesai dijalankan beberapa bulan lalu sebelum fasa kedua pembinaan bangunan dan infrastruktur dimulakan sebaik sahaja menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM80 juta daripada pihak EPU.

“Sekolah itu dijangka mula beroperasi menjelang 2015 dan bakal mengeluarkan 150 hingga 250 orang tenaga mahir dalam bidang perikanan setiap tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Johari meminta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian (FAMA) supaya melihat semula peranan masing-masing dalam meningkatkan hasil pertanian negara tanpa bergantung kepada negara luar.

“Agensi terbabit (LPP, PPK dan FAMA) dilihat lebih aktif dalam perniagaan lain seperti stesen minyak berbanding menghasilkan produk pertanian sekali gus menjejaskan bekalan makanan dalam negara sekiranya berlaku masalah di negara pengeksport.

“Saya meminta Ahli Lembaga Pengarah agensi berkenaan membuat lawatan ke Selatan Thailand dan melihat bagaimana mereka di sana mampu menghasilkan bekalan sayuran serta cili padi yang banyak setiap hari tanpa perlu mengusahakan ladang berskala besar,” katanya.

Beliau berkata agensi-agnesi berkenaan sewajarnya lebih menumpukan kepada industri pertanian dan menghasilkan bekalan makanan berasaskan pertanian sebagai usaha membantu kerajaan mengurangkan import dari luar negara. — Bernama