27 penduduk diserang virus Hepatitis A

0

ULANG KAJI: Nor Ain Nabila Rashid mengulang kaji pelajaran di katil Hospital Hulu Terengganu di Hulu Terengganu, semalam. — Gambar Bernama

HULU TERENGGANU: Seramai 27 orang termasuk lapan kanak-kanak dari Kampung Basong dan Kampung Pasir Dula di sini dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) kerana disyaki dijangkiti virus Hepatitis A.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Anuwa Sulaiman berkata lima orang lagi mangsa dari dua kampung berkenaan dirawat sebagai pesakit luar.

“Kesemua mangsa yang dirawat berusia antara dua tahun hingga lingkungan 50-an dan keadaan mereka dilaporkan setabil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kesemua mangsa terbabit dimasukkan ke hospital itu sejak tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha secara berperingkat-peringkat hingga beberapa kes terbaru dikesan kelmarin.

Dr Anuwa berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti jenis penyakit sebenar yang dihadapi kesemua mangsa.

Beliau berkata buat masa ini, kesemua mangsa yang sedang dirawat itu  disyaki terkena virus Hepatitis A berdasarkan simptom yang dialami seperti mata kuning,  demam, sakit kepala dan cirit-birit.

“Mereka bukan menghidap virus air kencing tikus atau Leptospirosis,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Telemong, Rozi Mamat, yang melawat mangsa di HHT semalam, berkata beliau mengharap Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan segera bagi mengesan punca sebenar wabak itu. — Bernama

Rozi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, berkata beliau difahamkan kejadian itu berpunca dari penggunaan air yang tidak bersih.

Katanya, sebelum ini penduduk di Kampung Sungai Berua, dekat sini, telah diserang wabak itu pada September lepas. — Bernama