Calon BN PRU13 belum dibincang, kata Taib

0

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata calon-calon Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti belum dibincangkan setakat ini.

Beliau berkata mesyuarat semalam adalah sebagai persiapan anggota-anggota BN menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini hingga 23 November ini.

Menurutnya, sudah menjadi kelaziman anggota-anggota BN akan bermesyuarat sebelum menghadapi Persidangan DUN.

“Kami tidak membincangkan mengenai calon-calon dalam mesyuarat ini, cuma kami hanya membincangkan mengenai persiapan Persidangan DUN yang bermula esok (hari ini),” katanya ditemui pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Taib mempengerusikan Mesyuarat Pra-Persidangan DUN yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, menteri-menteri kabinet negeri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Difahamkan Majlis Tertinggi BN Negeri turut mengadakan mesyuarat semalam selepas mesyuarat Pra-Persidangan DUN.

Semalam akhbar tempatan melaporkan spekulasi bahawa lima Ahli Parlimen daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka digugurkan pada PRU13 akan datang.

Mereka yang kemungkinan digugurkan ialah Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib (Samarahan), Datuk Rohani Abdul Karim (Batang Lupar), Dato Sri Dr Mohd Leo Michael Toyad (Mukah), Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) dan Nancy Shukri (Batang Sadong).

Kesemua Ahli Parlimen terbabit kemungkinan digugurkan atas sebab-sebab tertentu.

Sehubungan itu, Mesyuarat Dewan Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur pada Khamis lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak membincangkan mengenai PRU13.

Najib dipetik sebagai berkata: “Tahun 2011 akan berlangsung tanpa Parlimen dibubarkan dan mesyuarat Dewan Majlis Tertinggi BN itu langsung tidak membincang mengenai tarikh pilihan raya tersebut.”