Tujuh kilauan emas pada hari ketiga

0

Empat pingat disumbang karate, dua menerusi olahraga manakala satu lagi dalam acara terjun

JAKARTA, Indonesia: Hari ketiga Sukan SEA Ke-26 tampak produktif buat kontinjen negara apabila setakat jam lapan malam tadi, atlet-atlet kita sudah mendulang tujuh pingat emas buat Malaysia dengan skuad karate paling mencuri tumpuan ekoran kejayaan menggondol empat emas.

Malah kilauan emas sudah mula kelihatan seawal pagi lagi di Palembang apabila Atlet jalan kaki, Lo Choon Sieng menyumbang emas dalam acara 20 kilometer jalan kaki lelaki.

Kejayaan tersebut menebus kekecewaan beliau pada Sukan SEA di Laos dua tahun lalu apabila beliau terkeluar daripada pertandingan kerana melanggar peraturan acara tersebut.

“Saya sangat gembira. Saya telah kerja kuat untuk Sukan SEA ini sejak dua tahun lepas. Memang ini adalah target (sasaran) saya setelah gagal di Laos,” katanya kepada media Malaysia di Stadium Olahraga Kompleks Sukan Jakabaring di sini, semalam.

Lo, 26, turut menyifatkan perlumbaan semalam, yang diadakan seawal pukul 6 pagi waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia), berjalan amat lancar buatnya.

Kejayaan Lo ternyata menjadi pembakar semangat buat kontinjen olahraga apabila Tan Song Hwa menyumbang emas kedua olahraga apabila memenangi acara baling tukul besi wanita.

Apa yang pasti, skuad karate paling cemerlang pada hari ketiga semalam apabila meraih empat emas buat kontinjen negara menerusi Shaharudin Jamaludin, Longanesha Rao, G. Yamini dan K. Teagarajan.

Shabarudin terlebih dahulu menyumbang emas menerusi acara lelaki individu kumite bawah 75 kilogram sementara Longanesha menyusul dengan kemenangannya dalam acara lelaki individu kumite bawah 55 kilogram yang diadakan di Stadium Tertutup Tenis, di sini semalam.

G. Yamini pula menyumbang emas ketiga karate apabila mengungguli acara wanita individu kumite bawah 61 kilogram sementara emas keempat karate diraih oleh K. Teagarajan dalam acara lelaki individu kumite bawah 84 kilogram.

Kemenangan buat Shabarudin ternyata manis kerana ia menebus kekecewaan kakaknya, Jamalliah yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acar a wanita individu kumite atas 68 kilogram kelmarin (Sabtu).

“Saya sangat gembira dapat meraih emas pertama dari Jakarta untuk kontinjen Malaysia. Tetapi yang lebih utama, saya berjaya menebus kekalahan kakak saya semalam,” kata kepada pemberita di sini.

Shaharudin, dari Kuala Lumpur, berkata beliau telah berhadapan dengan atlet Vietnam lebih lima kali dalam pertandingan antarabangsa dan mengetahui taktik serangan lawannya.

“Ini merupakan penyertaan kali ketiga saya dalam Sukan SEA dan saya lebih tenang serta yakin untuk mengalahkan lawan. Saya memperoleh gangsa di Korat, Thailand pada 2007 dan satu lagi gangsa di Laos, dua tahun lepas,” katanya.

Sukan terjun tidak ketinggalan menjadi penyumbang pingat emas buat negara apabila gandingan Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama. Pada aksi di Pusat Akuatik Jakabaring di Palembang, gandingan penerjun negara itu memperolehi 296.10 mata, diikuti pemenang pingat perak, Natalie Dinda dan Dewi Setyaningsih dari Indonesia dengan 250.20 mata.

Gandingan Filipina Sheila Mae Perez dan Ceseil Domensio merangkul pingat gangsa dengan 243.12 mata.

“Saya fikir tahap kesukaran kami adalah tinggi berbanding peserta lawan dan kerjasama kami telah meningkat,” kata Mun Yee, yang berganding dengan Yan Yee selepas Sukan SEA Laos pada 2009. Di Laos, Mun Yee meraih emas acara itu apabila berpasangan dengan Cheong Jun Hong.

Bagi Yan Yee, 19, persembahannya telah banyak meningkat sejak membuat penampilan sulung pada edisi lepas di Laos.

“Prestasi saya bertambah lebih baik sejak Sukan SEA lalu dan beberapa kejohanan lain pada tahun ini. Misi seterusnya untuk menang pingat pada acara individu,” demikian menurut Yan Yee, yang pertama kali akan beraksi pada acara 3 meter papan anjal individu. — Bernama