Pertemuan dengan Najib perjelas isu utama dihadapi S’wak

0

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberi­tahu, pertemuannya dengan Per­dana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Selasa lepas adalah untuk menjelaskan isu-isu utama dihadapi Sarawak ketika ini.Beliau memberitahu penjelasan itu penting bagi membolehkan Per­dana Menteri yang juga pengerusi BN memahami dengan lebih jelas isu-isu berbangkit serta situasi keseluruhan di negeri ini.

“Kami (semua presiden parti komponen Barisan Nasional) telah diarah oleh Perdana Menteri agar memaklumkan kepadanya isu-isu utama diSarawakdengan itu beliau akan memahaminya dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu-isu utama yang dibincangkan dengan Najib.

“Isu-isu yang lazimnya dibang­kitkan dalam akhbar dan media,” ujarnya ringkas.

Ditanya adakah pertemuan itu menandakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu terdekat ini, Taib berkata Perdana Menteri tidak me­maklumkan tarikh sebenar pilihan raya akan diadakan.

“Ya, Pilihan Raya Umum akan diadakan tetapi beliau tidak memberitahu saya bila (tarikhnya),” tegasnya.

Bernama semalam melaporkan Najib menemui pemimpin-pemimpin parti komponen BN pada malam Selasa lepas dipercayai ada kaitan dengan persiapan menghadapi PRU13 akan datang.

Pertemuan kira-kira dua jam di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dipercayai antara siri pertemuan parti komponen BN ketika pelbagai pihak terutamanya pembangkang meuar-uarkan PRU13 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Menurut Bernama antara pemimpin yang kelihatan memasuki kediaman rasmi Perdana Menteri ialah Timbalannya Sri Muhyiddin Yassin diikuti beberapa pemimpin parti komponen BN antaranya Presiden MCADatuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas.

Turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri ialah Presiden GERAKAN Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk V.K.Liew, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing, Presiden Parti BersatuSabah(PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.