Monday, July 22

S’wak sedia kongsi pengalaman bangun empangan hidro

0

RASMI: Taib menyentuh robot ketika menyempurnakan perasmian Simposium Serantau-Kejuruteraan dan Teknologi Hijau 2011, di Kuching semalam. Turut kelihatan Naib Presiden Persekutuan Institusi Kejuruteraan Negara-negara Islam Profesor Megat Johari Megat Mohd Noor (kiri), Pengerusi Simposium Serantau-Kejuruteraan dan Teknologi Hijau 2011 Prof Dr Rosnah Mohd Yusoff (dua kanan) dan Presiden Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia Prof Datuk Abang Abdullah Abang Ali.

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata cabaran dan pengalaman yang dihadapi Sarawak dalam pembangunan empangan hidroelektrik sedia dikongsikannya di peringkat global.

“Kita adalah rakan lebih muda dalam perniagaan perkongsian.

“Sebagai langkah pertama, pada sekitar tahun depan, kita akan menjadi tuan rumah Kongres Pembangunan Tenaga Hidro yang membolehkan semua pemain utama dalam industri tersebut di seluruh dunia berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Serantau – Kejuruteraan dan Teknologi Hijau 2011 di sini, semalam.

Taib yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata kerajaan telah menangani pelbagai aspek dari segi kejuruteraan dan memastikan gangguan terhadap alam sekitar diminimumkan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga melaksanakan penyediaan cara kehidupan alternatif untuk penempatan semula penduduk yang dipindahkah dari tapak projek.

Tambahnya, adalah penting kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan penduduk tempatan yang masih lagi mengamalkan nilai-nilai legasi lama di samping mempelajari untuk menghargai nilai-nilai warisan mereka.

“Saya percaya bahawa pengalaman kita menguruskan penempatan semula penduduk dari kawasan yang hendak dibangunkan sebagai empangan telah membolehkan kita menghargai orang serta memahami keperluan, budaya dan tradisi mereka,” katanya.

Taib juga berkata bagi pembangunan Empangan Bakun, kerajaan negeri telah berjaya menyelamatkan ribuan flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut bagi memastikan spesies-spesiesnya terpelihara.

Mengenai sistem sungai di Sarawak, Taib berkata ia juga menjadi kebimbangan iaitu sejauh manakah negeri dapat mengurangkan pembangunan sistem air bagi tujuan memulihara alam sekitar.

Sementara dalam ucapannya, Taib berkata Sarawak kini sudah mampu mengurangkan dan mengawal sisa di samping meningkatkan tenaga-tenaga kerja menjadi pakar dalam pengurusan sisa.

Mengenai hutan di Sarawak, beliau berkata ia sudah dalam kitaran ketiga penuaian.

“Sekarang, banyak hutan di Sarawak adalah dalam pusingan kedua penuaian.

“Terdapat juga pokok yang ditanda dan yang berusia kurang 25 tahun tidak akan dipotong,” katanya.

Simposium Serantau-Kejuruteraan dan Teknologi Hijau 2011 yang diadakan bermula 21 hingga 23 November ini melibatkan penyertaan dari Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Hadir sama ialah Pengerusi Simposium Serantau-Kejuruteraan dan Teknologi Hijau 2011 Prof Dr Rosnah Mohd Yusoff, Presiden Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia Prof Datuk Abang Abdullah Abang Ali dan Naib Presiden Persekutuan Institusi Kejuruteraan Negara-negara Islam Profesor Megat Johari Megat Mohd Noor.