Ekspo ICT 2011 sediakan hadiah menarik

0

SERTAI KAMI: (Dari kiri) Ting, Chong, Jong dan Ho pada sidang media mengenai Ekspo ICT 2011 di pejabat Acer Kuching, semalam.

Untuk sertai cabutan bertuah, pengunjung, berbelanja RM300 ke atas dalam satu resit

KUCHING: Ekspo ICT 2011 yang akan diadakan dari 25 hingga 27 November depan menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung bertuah sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Menurut pengerusi penganjur Ekspo ICT 2011 Jong Fui Ming, untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah, pengunjung hendaklah berbelanja RM300 dan ke atas dalam satu resit.

Cabutan bertuah utama akan diadakan pada Ahad (27 November) pada jam 8 malam.

Beliau berkata cabutan bertuah dibuat setiap dua jam iaitu jam 2 petang, 4 petang, 6 petang dan 8 malam setiap hari.

“Kali ini banyak program menarik akan diadakan sepanjang ekspo, kempen menderma darah, kitar semula ‘e-waste’ dan ceramah pelbagai aspek untuk pengunjung yang berminat.

“Sebanyak 190 gerai pameran disertai 75 syarikat termasuk enam gerai milik kerajaan negeri yang akan mempromosikan perkhidmatan online kerajaan Sarawak,” katanya dalam sidang media di pejabat Acer Kuching, semalam.

Jong menambah, mereka yang mengitar semula e-waste juga layak mendapat satu kupon cabutan bertuah.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan (Promosi dan Memperkenalkan Produk-produk Utama) Acer Maxine Ho berkata sepanjang ekspo itu, Acer akan mengadakan promosi beberapa produknya dan hadiah misteri menanti setiap pengunjung yang membeli produk Acer.

“Selain itu sebuah kereta Perodua Myvi menanti pemenang peraduan ‘Chip–it-up’ yang penyertaannya dibuka kepada orang ramai yang membeli produk komputer Acer dan Windows 7.

“Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web www.chipitup.com.my untuk keterangan lanjut,” jelasnya.

Pengerusi Persatuan Perniagaan Komputer Kuching (KCBA) Chong Choon Chiang pula berkata pihaknya percaya ekspo kali ini akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai kerana persekitaran ekspo lebih selesa dan kondusif berbanding sebelum ini.

“Kami menjangka lebih 50,000 pengunjung akan datang dan meraih pulangan lebih RM1 juta dan untuk memudahkan orang ramai ke lokasi pameran pihak menganjur menyediakan perkhidmatan bas yang akan mengambil penumpang di Wisma Saberkas dan The Hills Shopping Mall,” katanya.

Beliau menambah, penumpang hanya perlu membayar RM1 untuk tambang sehala ke tempat ekspo iaitu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Ekspo ICT 2011 dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Tahun ini kami sangat bertuah kerana Acer muncul sebagai penaja premium manakala Canon selaku penaja emas Ekspo ICT 2011,” katanya.

Majlis perasmian akan diadakan pada 25 November ini pada jam 3 petang dan disempurnakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengurus Cawangan Sarawak Acer Sales and Services Sdn Bhd Ting Meng Hung.