Pertandingan Menenun Pua Kumbu Terbuka S’wak 2012

0

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu bersama-sama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu akan menganjurkan Pertandingan Menenun Pua Kumbu Terbuka Sarawak 2012.

Penaung pertandingan ini ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Objektif penganjuran pertandingan ini ialah menggalakkan golongan wanita Dayak/Iban terlibat dalam kraf tangan tenunan pua kumbu serta membangun dan mempertahankan kraf tangan ini sebagai warisan yang harus diwarisi semua wanita Dayak/Iban.

Pertandingan ini bermula pada bila-bila masa dari sekarang dan peserta diberi tempoh selama enam bulan untuk menyiapkan hasil tenun pua kumbu mereka.

Peraturan am dan syarat-syarat yang dikenakan ialah pertandingan ini terbuka kepada semua penenun di Sarawak tanpa mengira usia.

Setiap penenun boleh mengemukakan satu helai kain atau lebih tetapi sutera atau kain yang digunakan mesti mula dibuat dalam tempoh enam bulan sebelum tarikh tutup pertandingan pada 10 Mei 2012.

Semua penyertaan mesti dilaksanakan dalam pewarna asli sahaja.

Pertandingan ini terbuka kepada satu kategori iaitu Kategori Cotton Pua Kumbu.

Saiz kain atau sutera yang ditetapkan ialah 4’X 8’ (lebih atau kurang) dan warna yang digunakan hendaklah asli (engkudu, engkerebai, sebangki dan lain-lain).

Hasil hendaklah reka bentuk corak tradisional. Hadiah-hadiah yang ditawarkan pada pertandingan ini ialah johan akan menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala, naib johan RM2,000 berserta piala dan tempat ketiga RM1,000 berserta piala.

Tempat keempat hingga keenam masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 sementara tempat ketujuh hingga kesepuluh akan menerima hadiah wang tunai RM200.

Para pemenang tempat 11 hingga 20 akan memenangi hadiah wang tunai RM50.

Semua hasil tenunan hendaklah dihantar bersama-sama borang penyertaan sebelum atau pada 10 Mei 2012 dan kepada sekretariat pertandingan yang dilantik.

Pertandingan ini akan diadili atau proses pemberian markah pada 19 Mei 2012.

Lokasi dan masa akan diketahui pada tarikh yang ditetapkan kemudian.

Sebanyak 20 hasil tenunan terbaik akan dipilih dan akan dipamerkan pada pameran untuk tontonan orang ramai.

Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab kepada apa-apa kerosakan atau kehilangan harta sebelum, semasa dan selepas pertandingan.

Setiap hasil tenunan perlulah diletakkan label atau tanda ‘Tenun SIDS, SIBU 2012’ di atas kain.

Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sibu (tarikh akan ditetapkan kemudian).

Sepuluh pemenang akan diberitahu dan perlu menghadiri majlis makan malam itu untuk menerima hadiah.

Meja makan akan disediakan kepada 10 pemenang terbaik, bagaimanapun, penginapan dan pengangkutan akan ditanggung oleh mereka sendiri.

Kriteria penilaian adalah seperti berikut, reka bentuk/ukir (40 peratus), warna (mesti dalam pewarna semula jadi sahaja – 30 peratus), komposisi/ketulenan/ asal (15 peratus) dan mutu kerja/kehalusan tenunan (15 peratus).

Satu pameran pua kumbu akan dianjurkan dan akan bermula dari jam 4 petang hingga jam 8.30 malam serentak dengan Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sibu 2012.

Sebarang pertanyaan lanjut atau hasil tenunan hendaklah dihantar kepada sekretariat-sekretariat yang dilantik iaitu Alice Jawan, c/o Lembaga Air Sibu, Jalan Salim (084-211001 sambungan 203/205), Teresa Suli Noel, c/o 2-F, Jalan Bougenvilla 7B, Jln Oya Lama, Sibu (010-4099100), Angeline Uchi Maseng, c/o Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC), Wisma Sanyan, 96000 Sibu (016-8825861) atau Monica Giri, c/o No. 22, Central Market, 96000 Sibu (019-86984137).

Borang penyertaan juga boleh didapati dari laman web SIDS www.sids-sibu.blogspot.com atau diperolehi daripada sekretariat yang dilantik.

Justeru, orang ramai di negeri ini yang mempunyai bakat menenun pua kumbu dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ini.