Amy Search di Kuching, 9 Dis

0

KUCHING: Peminat muzik rock di Sarawak berpeluang menyaksikan penampilan khas legenda rock negara, Amy Search pada Konsert Rock Borneo Terbilang 2011, Disember depan. Konsert kolaboratif antara Amy Search dan artis-artis Iban popular itu akan diadakan pada 9 Disember 2011 (Jumaat) di Stadium Perpaduan Petra Jaya Kuching bermula jam 8 malam.

Dianjurkan oleh Intertrade Utama, konsert terbilang ini turut menampilkan penyanyi rock, Amir Pearl yang popular dengan lagu ‘Aku tak bersalah’ sekitar tahun 90-an dan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Antara Gadis’ Nai Dinamik.

Antara penyanyi-penyanyi Iban yang akan membuat persembahan pada malam itu ialah kumpulan Masterpiece, Stevenson, Ricky Andrewson dan Winnie Albert.

Dalam pada itu, konsert ini dianjurkan bagi menunaikan permintaan warga Kuching khasnya  untuk menyaksikan Amy yang popular dengan lagu ‘Tiada Lagi’ secara langsung.

Penampilan khas Amy adalah sebagai hadiah kepada peminat-peminat irama rock di Sarawak.

Pada masa yang sama ia juga bertujuan menaikkan lagi martabat industri muzik tempatan Sarawak serta mengetengahkan lagu-lagu Iban yang mempunyai pelbagai genre muzik supaya lebih dikenali bukan sahaja di negeri ini tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

Konsert-konsert seperti ini dilihat sebagai aktiviti hiburan untuk menarik minat golongan muda dan pelbagai peringkat umur. Selain itu, ia juga merupakan aktiviti sempena musim cuti sekolah.

Tiket-tiket bernilai RM35 untuk menyaksikan Konsert Terbilang Borneo 2011 ‘Aram Pemerindang’ ini mula dijual pada 14 November lalu.

Orang ramai yang ingin menyaksikan Amy Search secara ‘live’ boleh mendapatkan tiket-tiket di Café Sayau, Café Dara Manis, Pangau Libau, Meligai Keling dan Tubai.

Peminat juga boleh mendapatkan tiket-tiket di CATS FM atau melalui CATS Perodua Rangers.

Sementara itu, CATS FM turut menawarkan 100 tiket percuma untuk Rock Zone kepada pemenang bertuah untuk ditempatkan di hadapan pentas melalui trivia radio yang akan ke udara tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat CATS FM 082-311799 atau layari laman web CATS FM di www.catsfm.my.