Tiada acara ratu cantik

0

ABANG JOHARI

Akan diganti pertunjukan fesyen dalam Pesta Satok 2011

KUCHING: Pesta Satok tidak akan menganjurkan acara berkaitan ratu cantik pada kali ini, termasuk Ratu Mensia yang merupakan sebahagian daripada pesta sebelum ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata sebaliknya ia akan digantikan dengan pertunjukan fesyen.

“Kita tidak adakan mengadakan sebarang acara berkaitan ratu tetapi pertunjukan fesyen bagi mengelakkan sebarang kontroversi, yang kini kita rasa masih berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun jelasnya, perkara (kontroversi berkaitan pertandingan ratu) berkenaan sepatutnya tidak menjadi masalah di negeri ini.

Abang Johari berkata meskipun keputusan mengenai kontroversi itu belum lagi ditentukan tetapi beliau berharap ia dapat menjadi panduan bukan sahaja pertandingan ratu tetapi pertandingan seperti Kumang Gawai.

“Kita tidak ada masalah di sini, kenapa kita mahu wujudkan masalah.

“Misalnya di Sarawak ramai di kalangan rakan kita dari bangsa lain seperti Iban, Bidayuh dan sebagainya beragama Islam, patutkah kita melarang mereka memakai pakaian tradisional mereka (pertandingan Kumang Gawai)?,” katanya.

Namun katanya, kontroversi itu timbul kerana segelintir ahli politik yang mahukan sokongan daripada Muslim.

“Politik adalah politik tetapi ia juga perlu lebih praktikal,” tegasnya.

Pesta Satok diadakan dari 1 hingga 4 Disember ini dengan menggariskan pelbagai aktiviti termasuk seni, kebudayaan dan muzik.