Jangan memperkecilkan kemampuan Orang Ulu

0

RASMI: Taib (tengah) ketika memukul gong sebanyak 10 kali sebagai tanda perasmian majlis berkenaan sambil diperhatikan oleh dif-dif kehormat lain.

Etnik berkenaan mampu memberi impak kepada pembangunan dan masa depan Sarawak MIRI: Kaum minoriti khususnya Orang Ulu di negeri ini tidak harus memperkecilkan kemampuan serta sumbangan diri mereka.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, walaupun bukan majoriti, etnik berkenaan mampu memberi impak khususnya terhadap pembangunan dan masa depan Sarawak.

“Setiap komuniti dan tidak ketinggalan juga Orang Ulu harus memikirkan, yakin dan seterusnya melaksana serta menyumbangkan apa juga bentuk tenaga terutama terhadap pembangunan negeri,” katanya dalam Majlis Makan Malam Solidariti Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) malam kelmarin di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, segala usaha yang dikumpul serta digemblengkan adalah titik bagi sesuatu perubahan dan bukannya dengan menantikan bantuan daripada pihak lain.

“Janganlah seperti menantikan durian runtuh dari atas langit sahaja, menantikan sesuatu yang tidak pasti datang, perkara itu tidak akan terjadi,” ujarnya.

Katanya, keunikan dan kekayaan yang ada di negeri ini seharusnya menjadi peluang besar untuk mengubah diri sendiri.

Ini kata beliau bukanlah terletak terhadap kekayaan daripada aspek material sahaja kerana kepelbagaian kaum serta kestabilannya adalah kekayaan yang sebenar.

“Jika ditarik semua wang atau kekayaan di Sarawak ini, saya berani kata kita masih ada kekayaan dan itu terletak kepada kekukuhan serta kestabilan (politik, ekonomi dan sosial) yang kita ada,” jelasnya.

Dan semua itu menurut Taib adalah hasil daripada disiplin yang telah bertahun-tahun diamalkan di negeri ini terutama politik dan ia ternyata membuahkan hasil.

“Kita di Sarawak tiada politik yang mempunyai kepentingan peribadi atau individu, apa yang dipentingkan adalah komuniti (kaum) semata-mata,”katanya.

Hampir 1,000 hadirin terdiri daripada sembilan etnik Orang Ulu di seluruh Sarawak berkumpul dalam majlis makan malam berkenaan.

Turut berucap adalah Presiden FORUM Senator Lihan Jok dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Hadir sama pada majlis sama adalah isteri Taib Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pembangunan Sosial Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau serta dif-dif kenamaan lain.