Kos vandalisme rugi lebih setengah juta

0

Lima kawasan utama telah dikenal pasti, DBKU rayu kerjasama dari penduduk

MENYUSAHKAN ORANG LAIN: Wahap (kiri) menunjukkan penutup dan wayar tiang lampu elektrik telah dicuri.

 

KUCHING: Lima kawasan kerap jenayah vandalisme di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dikenal pasti sebagai penyebab kerugian lebih setengah juta.

Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai memberitahu, lima kawasan itu adalah perumahan baru Astana, perumahan lama Astana, Medan Raya, sekitar Bulatan Datuk Amar menuju ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Bandar Baru Samariang.

“Setakat November 2011, sebanyak 921 keping penutup longkang hilang yang menelan kos kerugian RM570,375, manakala 20 kes lampu elektrik rosak melibatkan kos sebanyak RM37,680 akibat gejala vandalisme ini di kawasan DBKU,” katanya pada sidang media di DBKU, semalam.

Tambahnya, DBKU terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM608,055 bagi perbuatan vandalisme ini.

Wahap menjelaskan, jumlah kerugian angkara jenayah vandalisme ini meningkat tiga kali ganda berbanding RM254,320 tahun lalu.

“Untuk membendung masalah vandalisme ini, saya memohon kerjasama daripada warga kota agar bersama-sama menjadi mata dan telinga dengan melaporkan setiap aktiviti tidak sihat ini di kawasan masing-masing.

“Ini kerana kos kerugian yang perlu ditanggung adalah melibatkan hasil daripada kutipan cukai taksiran setiap isi rumah di kawasan DBKU.

“Wang itu digunakan untuk membaik pulih (sepatutnya) boleh digunakan untuk menyediakan kemudahan lain yang lebih berfaedah untuk orang awam di kawasan ini,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang membeli hasil daripada aktiviti tidak bermoral ini bagi memerangi kes tersebut.

Justeru, beliau menyeru orang awam terus bersama-sama DBKU menjaga harta benda awam di kawasan kediaman masing-masing untuk membentuk kehidupan yang lebih selesa tanpa jenayah vandalisme.