Wong pasrah jika TDC ditangguh

0

Terpulang kepada ROS berhubung aduan proses pemilihan cawangan

Wong Soon Koh

KUCHING: Kumpulan yang diketuai Dato Sri Wong Soon Koh pasrah jika Perhimpunan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ditangguhkan atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) susulan aduan mereka terhadap ketidak-adilan dalam proses pemilihan di peringkat cawangan-cawangan parti tersebut, baru-baru ini.

Wong, Timbalan Setiausaha Agung SUPP berkata, mereka perlu menerima apa jua keputusan dan berharap ROS akan menjalankan siasatan segera memandangkan TDC dijadualkan pada 10 dan 11 Disember ini.

“Itu terpulang kepada ROS untuk menentukan, kita cuma membuat aduan dan meminta nasihat apa yang sebenarnya berlaku di sebalik proses pemilihan peringkat cawangan (pada November).

“Jika TDC ditangguhkan kita terima, apa lagi yang boleh kita lakukan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum ini, beberapa cawangan turut mengemukakan aduan berhubung perkara sama dengan ROS.

Susulan itu, menurut Wong, ROS telah menghantar dua surat kepada Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui. Kandungan surat itu bagaimanapun tidak diketahui.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua telah mengisytiharkan akan bertanding jawatan Presiden parti dan dijangka akan bersaing dengan Setiausaha Kerja SUPP Datuk Seri Peter Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Wong berkata lagi, pemimpin SUPP tidak wajar menyalahkan mereka jika TDC terpaksa ditangguhkan atau lebih buruk parti terpaksa dibubarkan kerana wujud pelanggaran perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Tidak boleh salahkan kami, aduan datang daripada peringkat cawangan. Kami cuma meminta nasihat daripada ROS dan Timbalan Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Kelmarin, Wong mengetuai kumpulannya berjumpa dengan ROS di Kuala Lumpur.

Turut serta ialah ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin, ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Bengoh Dr Jerip Susil, ADUN Opar Ranum Mina, ADUN Engkilili Johnical Rayong Ngipa dan Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King.

Menurut beliau, wujud salah laku dalam proses pemilihan peringkat cawangan, antaranya kertas undi di cawangan Kuching cuma disediakan dalam bahasa Mandarin.

Ini menyebabkan ahli-ahli Bumiputera atau yang tidak faham Mandarin tidak memahami apa yang tertulis dalam kertas pemilihan, katanya.

Turut dipersoalkan, perpindahan ahli-ahli parti ke cawangan lain. Contohnya, Datuk Sebastian Ting yang berpindah dari cawangan Lambir ke Piasau.

Keputusan untuk mengadu kepada ROS dibuat apabila kumpulan terbabit mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (CEC) SUPP tidak pernah mengambil tindakan berhubung aduan yang dikemukakan oleh sekurang-kurangnya lapan cawangan, antaranya Pending, Kuching, Piasau, Sarikei, Kanowit dan Bintangor.

Lebih menimbulkan keraguan dalam kalangan kumpulan Wong apabila CEC dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dikuasai oleh kumpulan Peter.

Kumpulan Peter disertai Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Sim, Bendahari Datuk David Teng dan Setiausaha Penerangan dan Publisiti Datuk Alfred Yap.

“Perkara terakhir yang kita enggan lihat ialah pembubaran parti apabila ROS mendapati banyak perkara dilakukan bercanggah dengan perlembagaan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Wong menafikan pertemuan dengan ROS itu turut membincangkan tentang penubuhan parti baharu.

Spekulasi itu timbul apabila wujud kemungkinan SUPP berdepan dengan pembubaran susulan pelanggaran perlembagaan parti.

“Tidak (bincang tentang penubuhan parti baharu). Kita hanya fokus kepada bagai-mana hendak menyelesaikan masalah parti,” katanya.