45,000 dipindah, dua bom WWII dimatikan

0

BAHAYA: Seorang kakitangan skuad pemusnah bom memegang bom WWII yang telah dimatikan dengan jayanya di Koblenz, kelmarin. — Gambar Reuters

BERLIN: Pakar pemusnah bom kelmarin telah mematikan dua butir bom Perang Dunia II (WWII) selepas pemindahan kira-kira 45,000 orang dari kediaman mereka di bandar barat Koblenz, kata pihak berkuasa Jerman.

Sebutir bom British seberat 1.8 tan dan sebutir bom AS yang lebih kecil seberat 125 kilogram, telah berjaya dimatikan, kata perkhidmatan bomba, selepas penemuannya di Sungai Rhine ketika paras air jatuh disebabkan kemarau panjang.

Hampir separuh populasi diarah meninggalkan kediaman dalam jarak 1.8 kilometer, termasuk dari dua hospital, tujuh rumah orang tua dan sebuah penjara.

Satu tong bahan kimia sejak perang tersebut juga ditemui berhampiran dan perlu dipastikan tidak berbahaya.

Beratus-ratus orang dibawa dengan kenderaan kecemasan dan yang lain keluar dari zon pemindahan awal hari itu, kata pihak berkuasa.

Selepas keadaan dipastikan selamat susulan pemusnahan bom, kira-kira 650 orang kemudian dibawa pulang.

Hampir 100 pesakit telah dipindahkan Sabtu lepas ke hospital lain.

Pemindahan penduduk melibatkan usaha 2,500 kakitangan bomba, polis, perubatan dan teknikal terma-suk pegawai perbandaran.

Tujuh sekolah telah dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara.

Pengumuman melalui alat pembesar suara dari kenderaan dan risalah dibuat sebelum itu yang memberi amaran kepada penduduk agar berpindah.

Jalan raya telah ditutup dan stesen kereta api utama awal-awal lagi telah ditutup.

Penduduk melihat bom British itu dari balkoni dan memaklumkan pihak berku-asa, lapor Welt am Sonntag.

Lebih enam dekad selepas perang, pihak berkuasa percaya masih ada 3,000 bom tertanam di ibu negara Berlin sahaja, dan bom yang tidak meletup kerap ditemui semasa kerja-kerja pembinaan.

Pada Jun 2010, sebutir bom Pakatan seberat 500 kilogram, dikatakan milik British, meletup dan membunuh tiga tentera kejuruteraan Jerman dan mengakibatkan kecederaan serius terhadap dua orang lagi di bandar tengah Goettingen ketika mereka bersedia untuk memusnahkannya. — AFP