Pesalah muda akan jalani kerja kebajikan: Fatimah

0

TERIMA KASIH: Noriah (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada Fatimah sebagai tanda terima kasih pada majlis tersebut, semalam.

KUCHING: Kerajaan telah bersetuju untuk menggantikan hukuman penjara dan denda kepada pesalah muda juvenil dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada kerja kebajikan dan bantuan kaunseling bagi mereka yang telah insaf.

Menteri Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, persetujuan itu dibuat dengan mensyaratkan pesalah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) tidak melebihi 240 jam.

“Kerajaan amat prihatin dan sedar bahawa remaja-remaja yang ingkar mengikuti PLKN tidak seharusnya dibebankan dengan masalah besar seperti penjara atau denda yang akan menjejaskan masa depan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Taklimat dan Perbincangan Perluasan Tempat Pelaksanaan PKM negeri, semalam.

Sebagai permulaan, katanya, pelaksanaan hukuman telah dilaksanakan di premis-premis di bawah organisasi JKM dan akan diperluaskan ke semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana segala kos pelaksanaan ditanggung kos oleh JKM negeri.

Menurut Fatimah di Sarawak, sejak tahun 2008 sehingga Oktober tahun ini seramai 128 pelatih telah menjalani PKM dan melakukan kerja-kerja mengecat bangunan, mengemas dan membersihkan kawasan bangunan pejabat kerajaan dan landskap.

“Perangkaan menunjukkan Kuching mencatatkan sejumlah 74 kes, manakala Samarahan 10, Sri Aman 5, Betong 7, Sarikei 2, Mukah 6, Kapit 1 dan Limbang 1.

“Sebanyak 121 kes dicatatkan iaitu bagi kesalahan harta benda 73 kes, dadah 15, sabit manusia 12, lalu lintas 13, senjata 3 dan lain-lain 5,” katanya.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan PKM turut mengambil kepentingan remaja yang terdedah kepada persekitaran kondusif, justeru bagi mengimbangi kepentingan pesalah muda dan kepentingan awam, hukuman bersifat deteren berupaya mencegah pesalah daripada mengulangi jenayah yang sama.

“Penggunaan teori pemulihan dalam bentuk PKM adalah terhad iaitu untuk kesalahan-kesalahan ringan oleh pesalah muda berumur 18 sehingga 21 tahun,” jelasnya.

Turut hadir, Pengarah Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) Che Ngah Ismail dan Pengarah JKM negeri Noriah Ahmad.