Wanita hamil alami pendarahan selepas diserang dua saudaranya

0

KUCHING: Seorang wanita hamil diserang oleh dua saudaranya di Kampung Pasir Pandak, kelmarin.

Mangsa, 23, dikatakan baharu tiba di rumahnya sekitar jam 3 petang sebelum didatangi oleh seorang saudara lelaki bersama anak perempuannya.

Menurut sumber, berlaku salah faham di antara mereka yang kemudiannya menyebabkan saudara lelakinya itu bertindak menerajang bahagian perut mangsa, sementara seorang lagi suspek memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

Selepas serangan itu, mangsa yang mengalami pendarahan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh ahli keluarganya.

Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka yang sanggup mengulas berhubung kejadian itu.

Polis kini menjalankan siasatan selepas laporan polis dibuat pada hari sama.