Projek rumah terbengkalai di Sarawak minimum

0

Kerajaan ambil pendekatan berhati-hati, pemaju jalan perniagaan dengan penuh tanggungjawab

 

TAWARAN MENARIK: (Dari kiri) Sim, Wong dan Ting menyaksikan model projek perumahan pada Jerayawara Perumahan dan Harta Tanah 2011 di Wisma Sanyan, semalam.

SIBU: Projek perumahan terbengkalai di Sarawak adalah minimum berikutan usaha-usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan dan pendekatan berhati-hati yang diambil oleh pihak pemaju, menyaksikan tiada projek perumahan terbengkalai dilaporkan beberapa tahun lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Harta Tanah Sarawak (SHEDA), Joseph Wong berkata, pemaju perumahan di negeri ini menjalankan perniagaan mereka dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi peraturan dan perundangan yang ditetapkan.

“Ini bagi menjaga kepentingan pengguna dan industri secara keseluruhan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Jerayawara Perumahan dan Harta Tanah 2011 di lobi Wisma Sanyan, semalam. Hadir sama, Setiausaha Agung SHEDA Sim Kiang Chiok, Naib Presiden SHEDA Cawangan Sibu Joseph Ting serta yang lain.

Seramai 19 pempamer menyertai jerayawara kali ini yang berlangsung sehingga 11 Disember ini, yang menawarkan pelbagai pakej serta diskaun menarik.

Sehubungan itu, menurut Wong, SHEDA berpendapat kenaikan yuran lesen pemaju dan pelaksanaan Skim Bina Kemudian Jual menjelang tahun 2015, sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini tidak perlu dilaksanakan di negeri ini.

“Kita menyeru kerajaan persekutuan agar menangguhkan pelaksanaannya memandangkan langkah baharu ini dilihat akan memberi kesan negatif dalam usaha negara mencapai negara berpendapatan tinggi.

“Pasaran rumah mungkin kekal kukuh berikutan keadaan demografi dan populasi generasi muda, (namun) tekanan kos dan persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu akan memberi cabaran besar kepada pemaju perumahan.

“Oleh itu, kita memohon kerajaan persekutuan agar memahami yang industri pada masa ini boleh memberi kesan dari segi kos kepada pihak pemaju, sekali gus membawa kepada pelbagai masalah lain,” jelas beliau.

Di samping itu, Wong juga berharap agar kerajaan dapat memperluaskan kemudahan pinjaman dan faedah yang ditawarkan di bawah Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), kepada semua jenis rumah dengan harga tidak melebihi RM400,000 yang dibangunkan oleh ahli-ahli SHEDA di Sarawak.

“Kerajaan harus memastikan program ini dilaksanakan di Sabah dan Sarawak agar penduduk di kedua-dua negeri ini tidak ketinggalan,” katanya sambil menambah program itu akan memberi faedah kepada  golongan berpendapatan sederhana yang ingin memiliki rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Di bawah PR1MA ini, kerajaan menyediakan rumah kos sederhana bertujuan khusus untuk mengisi jurang keperluan masyarakat dalam kumpulan berpendapatan isi rumah di bawah RM6,000 sebulan.

Sejumlah 42,000 unit rumah akan dibina di 20 kawasan strategik yang telah dikenal pasti, yang berharga antara RM150,000 hingga RM300,000 bergantung kepada lokasi dan saiz rumah.