Tan Kai ikrar pantau manifesto Presiden baharu

0

KEPIMPINAN BAHARU: Bekas ketua pemuda Sih Hua Tong (tengah) meraikan kemenangan bersama Tan Kai (kiri) selepas pengumuman dibuat. Turut kelihatan, Lawrence Kong.

Ketua Pemuda yang baharu dipilih akan memainkan peranan umpama ‘pembangkang dalam parti’

KUCHING: Barisan baharu Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyaksikan Tan Kai menerajui kepimpinan itu selepas dipilih pada Persidangan Perwakilan Pemuda SUPP, malam kelmarin.

Tan Kai, 41, seorang jurutera elektrik yang memenangi 38 undi, menewaskan Ketua Pemuda Cawangan Senadin, Lawrence Kong dengan 29 undi.

Proses pengiraan undi yang bermula pada kira-kira jam 5.30 petang selesai pada jam 11.30 malam kelmarin.

Bagi Ketua Pemuda baharu dilantik itu, beliau berjanji akan menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam memantau manifesto parti.

“Tidak kira siapa Presiden baharu nanti, saya akan memainkan peranan umpama ‘pembangkang dalam parti’ di mana saya akan memantau janji yang mereka suarakan dalam manifesto semasa pemilihan Presiden.

“Ia bagi memastikan manifesto yang dilaungkan akan dilaksanakan kerana saya merasakan hanya badan induk yang mampu melaksanakan janji kemudian baharulah parti dapat bergerak,” kata bekas Setiausaha Agung Pemuda SUPP itu kepada pemberita sejurus diumumkan sebagai Ketua Pemuda baharu.

Selain pemilihan ketua, Pemuda SUPP pada persidangan itu turut membentangkan beberapa resolusi yang turut diadaptasikan semasa persidangan.

Antaranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menangani isu ketidakseimbangan pengundi apabila ia menjalankan proses persempadanan semula yang dijangka siap 2014.

Pemuda SUPP menjelaskan beberapa konstituensi mempunyai jumlah pengundi yang lebih ramai berbanding konstituensi lain berdasarkan nisbah penduduk.

Di Sarawak, misalnya kerusi bandar seperti Pending, Batu Lintang dan Bukit Assek mencatatkan lebih 20,000 pengundi sementara paling rendah di Ba’Kelalan dengan hanya 6,000 pengundi.

Selain tiga perkara berkenaan parti juga memohon kepada kerajaan pusat untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memperuntukkan dana jangka panjang kepada sekolah Cina.

Resolusi berkenaan termasuk memastikan jawatankuasa parti akan melaksanakan tempoh dua penggal sahaja kepada jawatan tertinggi iaitu presiden.